Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Nafas: Jawapan yang mengundang lebih banyak persoalan

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menafikan kenyataan yang menyebut pertubuhan itu menggantung tugas pengurus besarnya, Muhammad Faris Ariffin atas dakwaan kesalahan tatakelola melibatkan salah guna dana pertubuhan.

Penafian itu dibuat oleh pengerusi Anggota Jemaah Pengarah (AJP) Nafas, Zamri Yaacob malam tadi, kira-kira 24 jam selepas kenyataan pertama tersebar.

Zamri menafikan pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan penggantungan Faris.

"Kenyataan berkenaan didapati mula tersebar sejak Selasa, 22 Oktober 2024 bukan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Nafas.

"Sehubungan itu, Nafas menegaskan bahawa maklumat yang disiarkan dalam kenyataan akhbar berkenaan tidak benar dan tidak disahkan oleh Nafas.

"Justeru, Nafas berharap mana-mana media yang menyiarkan laporan berkenaan penggantungan pengurus besar Nafas diminta untuk menarik balik laporan media berkenaan dengan serta merta," kata Zamri.

Tambahnya, sebarang kenyataan rasmi berkaitan Nafas hanya akan dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat Nafas.

Kenyataan Zamri sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kenyataan awal benar-benar palsu atau tidak mendapat persetujuan pengerusi.

Apa terkandung dalam kenyataan AJP yang dinafikan itu?

Menurut kenyataan itu, Nafas menggantung tugas Faris atas dakwaan kesalahan tatakelola melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu.

"Tindakan itu dibuat oleh barisan AJP Nafas yang diketuai Zamri selaku pengerusi AJP Nafas, susulan beberapa penemuan pelanggaran tata kelola terkait dengan kewangan Nafas yang merupakan dana milik ahli dalam pergerakan itu,” menurutnya.

Kenyataan itu menambah bahawa mesyuarat AJP Nafas bil 5/2024 yang bersidang pada 22 Oktober memutuskan menggantung tugas pengurus besar dan membentuk pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci dakwaan pelanggaran tatakelola.

Ia juga akan meneliti setiap penemuan dan laporan berkaitan perkara tersebut.

Nafas mempunyai 16 AJP termasuk Zamri.

Bagaimanapun, penafian Zamri menimbulkan lebih banyak soalan berbanding jawapan.

Ironinya, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu petang semalam mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbincang berhubung reformasi Nafas.

Gambar-gambar yang diambil ketika perjumpaan itu dikongsi dalam akaun Facebook, menunjukkan Muhammad Faris turut hadir bersama di sana.

Kenyataan Zamri diedarkan selepas perjumpaan perdana menteri dengan Mohamad Sabu.

Faris merupakan Ketua Pemuda parti Amanah Wilayah Persekutuan, sementara Mohamad Sabu adalah presiden Amanah.

Timbul persoalan, sekiranya kenyataan AJP itu bukan keputusan Nafas atau kenyataan palsu, kenapa Faris membuat kenyataan balas mempertahankan dirinya?

Dalam kenyataan, Faris berkata tuduhan terhadapnya dibuat tanpa proses semakan dalaman.

Kenapa Faris membuat kenyataan balas menjawab dakwaan dalam kenyataan yang dikatakan palsu itu?

Sementara itu, Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Peladang turut menjawab kenyataan media yang dipertikai itu.

Pertubuhan itu berkata penggantungan pengurus besar tidak boleh dikuat kuasa sehingga pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan oleh pendaftar.

Melihat kenyataan-kenyataan di atas, seperti ada yang tidak kena. Isu yang mudah sebegitu bagaimanapun mengundang penjelasan dalam empat kenyataan media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS