Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming hari ini mengingatkan pimpinan PAS “biar miskin harta, tapi jangan miskin minda”.
Mengulas dakwaan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibentangkan tahun depan bakal menindas golongan Melayu bandar, dia juga menasihatkan pimpinan PAS agar meninggalkan sikap asabiyyah mereka.
“Saya nak gesa ahli parlimen daripada PAS, sila tinggalkan sikap asabiyyah sedemikian.
“Bak kata pepatah Melayu, boleh miskin harta jangan miskin minda,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.
Pada 4 September lalu, PAS menyatakan kebimbangan mengenai Akta URA yang wajar dibimbangi.
Amzad yang juga pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS, berkata, selain penindasan golongan majoriti terhadap kaum Melayu bandar, tiga isu utama yang dibimbangi ialah pelanggaran hak milik, kesan sosial dan penindasan kepada akta-akta sedia ada.
Menurutnya, pelanggaran hak milik tanah mungkin berlaku dengan keperluan untuk kerajaan mendapatkan ambang persetujuan 100 peratus bakal dikurangkan dengan akta baru itu.
Nga yang juga Pengerusi DAP Perak menegaskan jelas sekali akta yang bakal diperkenalkan itu akan membawa kebaikan kepada semua.
Katanya, akta URA adalah satu lagi anjakan paradigma untuk pembaharuan atau pembangunan yang mampan.
“Dia tidak ada kaitan langsung, khususnya kepada miskin bandar dalam kaum dan mengambil contoh di Kampung Baru, (jikalau) tidak ada akta ini maka bangunan baru tidak boleh dibangunkan.
“Bayangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dah bagi saranan, (setiap) bangunan ada riwayatnya di mana bangunan hanya selamat untuk diduduki dalam tempoh 70 hingga 80 tahun.
“Bila bangunan itu dah dikatakan bahaya adakah ahli Parlimen PAS itu nak juga penduduk kediaman terbabit mati akibat daripada bangunan runtuh,” soalnya.
Malah, Nga turut mempersoalkan niat sebenar wakil rakyat terbabit membuat kenyataan seumpama itu.
“Itu sebab saya nak tanya, nawaitu sebenarnya, apa niat sebenarnya.
“Kenapa keluarkan kenyataan yang berbaur perkauman sebegini? Ini adalah amat dikesali dan jelas sekali tidak berasas,” katanya.
Sementara itu mengulas kenyataan berbaur hasutan seorang lagi pimpinan PAS, Razman Zakaria, Nga memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat.
Ini susulan kenyataan berbaur hasutan yang dibuat pemimpin parti PAS itu ekoran insiden perarakan mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan yang tular di media sosial.
“Kita serah kepada polis,” katanya ringkas.
Semasa perhimpunan di Menara Condong Teluk Intan, Perak pada Sabtu lalu, Razman mendesak supaya semua yang mata, kulit macam kita mesti bersatu.
Ia selepas sekumpulan warga China mengibarkan bendera republik itu pada perayaan Guan Gong di Teluk Intan, Khamis lalu.
Bagaimanapun, Razman sejak itu menafikan bahawa dia berniat untuk menghina mana-mana kaum dengan kenyataan itu, dan mendakwa bahawa media telah menyalah tafsir kata-katanya.
Susulan kejadian itu, polis melancarkan siasatan terhadap perhimpunan itu. Polis sebelum ini berkata mereka turut menyiasat pengibaran bendera China pada festival kebudayaan Guan Gong, dan mendapati penganjur bersalah.
Susulan kejadian itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu berdiri teguh dengan Razman dan lain-lain yang mengecam insiden tersebut tetapi tidak menyentuh kenyataan berbaur perkauman yang dibuat.