Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu lain selama lima hari bermula hari ini hingga 4 November berkaitan siasatan berterusan terhadap kartel yang didakwa terlibat dalam pengedaran dan bekalan baja padi di bawah projek kerajaan bernilai RM1.8 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada satu kenyataan mengesahkan penahanan dan reman terhadap dua suspek yang berusia antara 40-an hingga 50-an - seorang pengurus warga tempatan dalam bahagian pemasaran sebuah pertubuhan berkaitan pertanian; dan seorang warga asing yang mengetuai sebuah syarikat yang menerima kontrak pembelian baja daripada pertubuhan yang sama.
SPRM mendedahkan siasatan awal mendapati suspek utama telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat tersebut untuk mendapatkan kelulusan daripada pengerusi persatuan.
Menurut sumber, pengerusi itu memberikan kelulusan kepada syarikat asing tersebut tanpa sebarang perbandingan kos atau penelitian oleh lembaga pengarah.
“Kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60juta secara runding terus dibuat dalam tempoh masa 6 hari sahaja pada sekitar bulan Jun 2022 sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan tersebut sebelum ini”, kata sumber itu.
Kedua-dua suspek ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam selepas mereka dipanggil untuk disoal siasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Setakat ini, tiga individu ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh pertubuhan tersebut.