Ujian DNA kali kedua akan diadakan secepat mungkin untuk membuktikan mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya Utara Isnin lalu, adalah Nurin Jazlin.

Bapanya, Jazimin Abdul Jalil bersetuju ujian DNA kedua itu diadakan bagi membuktikan mayat tersebut adalah benar-benar mayat anaknya.

Jazimin, 33, berkata, beliau belum yakin dengan hasil keputusan DNA pertama, yang mengesahkan mayat berkenaan adalah anaknya yang hilang sejak sebulan lalu, demikian menurut laporan Bernama.

"Selepas buat ujian yang kedua itu baru saya boleh bagi keputusan sama ada ya atau tidak, untuk mengakui mayat itu adalah mayat Nurin atau tidak," ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya malam tadi.

Difahamkan, Jazimin berada di IPD untuk menemui Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed dan melihat sendiri keputusan ujian DNA pertama, yang dilakukan selepas mengecam mayat budak perempuan tidak berbaju, dipercayai turut menjadi mangsa deraan seks yang ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, Isnin lalu.

Jazimin tiba di IPD itu kira-kira jam 10 malam dan keluar semula kira-kira pukul 11.30 malam, dan menemui pemberita yang berkumpul menunggu beliau.

Majlis baca Yassin

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar pula mencadangkan kepada ibu bapa Nurin Jazlin untuk menjalani ujian DNA kedua setelah mereka enggan mengakui mayat tersebut adalah anak mereka.

Jazimin enggan menerima keputusan DNA itu dan beliau pasti mayat itu bukan anaknya berdasarkan keadaan gigi dan parut yang dipunyai oleh Nurin Jazlin.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang pada 20 Ogos setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Mengenai suspek pembunuh kanak-kanak malang itu, Jazimin berkata setakat ini polis masih belum membuat apa-apa keputusan dan giat menyiasat petunjuk awal mengenai suspek berkenaan.

Malam tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengesahkan polis sudah mempunyai petunjuk awal bagi menjejaki suspek pembunuhan kejam itu tetapi tidak dapat memastikan sama ada kejadian itu adalah perbuatan pembunuh bersiri.

Sementara itu, majlis bacaan Yassim di rumah keluarga Nurin Jazlin di Wangsa Maju malam tadi yang disertai saudara mara dan jiran tetangga keluarga itu.