ULASAN | Apabila kami mula beroperasi pada November 1999, kami tidak menyangka akan bertahan selama 25 bulan, apalagi 25 tahun. Tetapi inilah kami, masih komited untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk semua.

Namun, sambutan ulang tahun ke-25 kami sedikit terganggu oleh pelbagai cabaran yang melanda organisasi media di seluruh dunia, termasuk gangguan teknologi dan keletihan politik.

Untuk meneruskan misi kami, kami terpaksa melakukan pengurangan operasi, satu keputusan yang amat sukar.

Malaysiakini satu-satunya organisasi berita bebas di negara ini yang tidak dikaitkan dengan korporat besar, ahli perniagaan atau ahli politik. Ini menjamin kebebasan editorial dan kemerdekaan daripada kawalan politik.

Harga kebebasan tidak murah

Walaupun terdapat kebebasan media yang lebih besar sekarang, masih terdapat "peringatan mesra" daripada pihak berkuasa, terutama mengenai isu-isu berkaitan kaum, agama dan diraja atau 3R.

Malaysiakini sedar apabila melibatkan isu-isu "3R", portal berita ini tidak ada ramai kawan.

Mereka yang pernah mempertahankan kami pada masa lalu, lebih suka mendiamkan diri kerana keadaan sekarang berbeza. Jadi, kami terpaksa berhati-hati.

Gambar fail, CEO Malaysiakini Premesh Chandran di hadapan Istana Kehakiman.

Kebebasan juga boleh menjadi mahal. Sebagai contoh, Malaysiakini dikenakan denda RM500,000 atas komen pembaca pada tahun 2021, yang kami berjaya selesaikan dengan sokongan rakyat Malaysia yang bermurah hati.

Pada tahun sama, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman terhadap Malaysiakini sebanyak RM250 juta atas liputan perbicaraan rasuahnya, yang antara lain, memetik 399 komen daripada pembaca.

Pergolakan undang-undang memaksa kami untuk menggali jauh ke dalam poket kami. Malah, menjawab surat tuntutan pun boleh menjadi mahal.


DEMI MEDIA BEBAS, untuk sumbangan klik pautan ini.


Gambar fail, Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya pada 19 Februari 2021.

Selepas Pilihan Raya Umum yang lalu, pengkritik kami, yang telah lama menuduh kami sebagai jurucakap PH, menjangkakan Malaysiakini akan mengubah arah editorialnya tetapi terkejut apabila mendapati kami mengekalkan haluan yang sama.

Inilah semangat Malaysiakini. Inilah petunjuk jalan ‘bintang utara’ kami - matlamat menyampaikan kebenaran kepada kuasa tanpa mengira siapa yang memakai mahkota.

Kami tidak akan berdiam diri menghadapi pelanggaran hak asasi manusia, apabila kumpulan-kumpulan terpinggir ditindas atau apabila kebebasan asas terancam.

Contohnya kes serangan melibatkan pemandu e-hailing yang kurang upaya pendengaran, Ong Ing Keong. Malaysiakini melaporkan kejadian itu dan tuduhan terhadap polis tanpa pilih kasih apabila orang lain memilih untuk berdiam diri atau menarik balik artikel mereka.


MKINI DIDANAI PEMBACA BUKAN POLITIKUS, klik pautan untuk langganan.


Gambar fail, wartawan Malaysiakini selepas dipanggil memberi keterangan di IPD Dang Wangi pada 9 Ogos lalu, susulan laporan pertukaran kepimpinan tertinggi PDRM.

Pendirian tegas ini juga jelas dalam laporan siasatan kami mengenai isu-isu alam sekitar walaupun projek-projek ini dikaitkan dengan individu-individu yang berkuasa.

Pada masa lalu, kami menentang penyalahgunaan dan rasuah rejim Barisan Nasional dan menyokong reformasi yang dijanjikan oleh PH.

Sekarang, kami terus mengingatkan pentadbiran baru tentang janji mereka dan supaya tidak mengikuti jejak langkah kerajaan terdahulu.

Dalam filem biopik Benicio Del Toro tentang Che Guevara, terdapat satu babak selepas perang gerila Kuba menggulingkan rejim diktator Batista apabila dia berkata, "perang telah berakhir. (Tapi) revolusi baru sahaja bermula."

Begitu juga, Malaysiakini memahami perubahan ada liku-likunya, tidak pernah bergerak lurus. Kita tidak boleh berputus asa. Kita mesti terus berusaha untuk generasi akan datang. Api tidak boleh dipadamkan untuk membiarkan kegelapan menyelimuti kita.

Yakinlah, Malaysiakini akan sentiasa berada di barisan hadapan, menyampaikan berita dan pandangan yang penting.

Tetapi untuk kami terus berjuang demi Malaysia yang lebih baik, kami memerlukan sokongan berterusan anda.

Terima kasih.

Editor Eksekutif Malaysiakini, RK Anand.


Hubungi kami di +60 17-323 0707 untuk menjadi pelanggan seumur hidup kami, atau langgan Malaysiakini hari ini untuk penjimatan 25 peratus. Anda juga boleh menghadiahkan langganan kepada rakan. Sebagai alternatif, sumbangkan derma anda di sini.