Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota gabungan itu bahawa mencontohi sekutu mereka dari Pakatan Harapan (PKR) untuk tidak menjadikan duit sebagai alasan dalam melakukan gerak kerja parti.
Zahid yang juga presiden Umno menyorot bahawa BN "sangat mewah" ketika kempen pilihan raya umum (PRU) lalu namun gagal membentuk kerajaan.
"Kalau komponen tak ada duit, parti pun tak ada duit. Buatlah kerja (macam) tak ada duit.
"Masa PRU14, kita sangat mewah, adakah dapat bentuk kerajaan? Duit bukan segala-galanya walaupun segalanya memerlukan duit. Jangan guna alasan duit untuk tak bekerja.
"Tanya PKR, tanya Amanah, lebih miskin lagi (berbanding BN) sehingga sekarang. Duit bukan keutamaan," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.
Sementara itu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata kerajaan perpaduan pimpinan BN dan PH hari ini perlu menerima hakikat politik baru bahawa tidak ada satu parti pun yang dominan bagi membentuk kerajaan.
“Ini realiti politik baru yang harus kita depani. Bertapa bencinya DAP pada Umno, begitu juga bencinya Umno pada DAP, satu ketika dulu.
“Betapa bencinya PKR pada Umno, begitu juga kebencian kita kepada PKR. Begitu juga Amanah dan dulu kita lawan tapi sekarang kita kawan dan kita tahu, Umno dan parti-parti komponen di dalam BN adalah merupakan membership based party.
“Namun, kita tidak boleh menggunakan dan bergantung hanya kepada ahli parti untuk menjadi penyokong sebagai pengundi bagi calon-calon yang akan kita kemukakan,” katanya.
Tambah Zahid, realiti baru yang perlu diterima oleh BN dan PH ialah parti komponen gabungan masing-masing boleh menjadi faktor penentu bagi kemenangan calon kerajaan perpaduan dalam pilihan raya.
