Kabinet: Rombakan balas budi
Rombakan kabinet yang digembar-gemburkan oleh media arus utama sejak beberapa minggu lalu akhirnya diumumkan kelmarin. Ternyata gembar-gembur itu lebih hebat daripada realiti.
"Rombakan" itu merupakan peristiwa yang melibatkan beberapa perubahan kecil - dua muka baru menyertai kabinet, sebuah kementerian baru (Hal Ehwal Wanita) dibentuk, serta dua timbalan menteri dan seorang setiausaha parlimen dilantik.
Namun ada suatu perkara menarik yang terjadi dalam peristiwa itu - dan mungkin tidak disedari oleh kebanyakan kita. Daripada dua muka baru yang menyertai kabinet, hanya seorang merupakan anggota Dewan Rakyat yang dinaikkan pangkatnya daripada jawatan timbalan menteri. Menteri baru itu ialah Datuk Shahrizat Abdul Jalil.
Satu lagi muka baru ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Brig-Jen (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin yang diberikan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Brig-Jen Abdul Hamid akan dilantik sebagai anggota Dewan Negara sebelum boleh menjadi menteri bagi mengambil tempat Senator Dr Abdul Hamid Othman yang telah meletakkan jawatan tersebut minggu lalu. Dr Hamid sebelum itu dilantik sebagai menteri melalui pintu Dewan Negara, setelah kalah dalam pilihanraya umum 1999.
Perkara yang menarik tentang pelantikan-pelantikan baru ini ialah: Daripada lima pelantikan baru untuk semua jawatan itu hanya seorang sahaja yang masuk melalui pintu "biasa," yakni melalui Dewan Rakyat, pemilihan melalui undi orang ramai.
Selain Shahrizat, semuanya dilantik melalui jalan "lain" - yakni melalui Dewan Negara.
Menurut tradisi parlimen Great Britian, yang kononnya menjadi leluhur tradisi demokrasi berparlimen kita, "dewan atas" (upper house) ini berfungsi sebagai semacam pengimbang terhadap dewan yang dipilih rakyat. Keanggotaan yang mewakili golongan bangsawan itu diharapkan menjadi sumber kewarasan dan kebijaksanaan - selain diberikan pula kelebihan sebagai kuasa kehakiman tertinggi.
Dewan senat di negara kita tidak mempunyai fungsi kehakiman sama sekali. Namun dewan itu berfungsi juga semacam daya pengimbang melalui para anggotanya yang ditunjuk oleh pemerintah pusat dan kerajaan-kerajaan negeri. Selain itu, golongan-golongan khusus negara ini, misalnya orang asli, mendapat hak diwakili di Dewan Negara.
Kesetiaan sempit
Memang tidak ada peruntukan perlembagaan yang menghalang anggota-anggota senat daripada dilantik kepada jawatan-jawatan kabinet dan eksekutif pentadbiran negara - tetapi amalan itu bukanlah dapat dianggap amalan biasa, tetapi merupakan amalan "pintas."
Namun dalam era Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, amalan ini tampaknya semakin lama semakin kerap dan lumrah dilaksanakan. Dewan "atasan" itu tampaknya semakin sering digunakan sebagai saluran untuk melantik mereka yang tidak mendapat mandat rakyat - atau malah terang-terang ditolak rakyat - melalui pilihanraya untuk melaksanakan peranan eksekutif negara.
Bahaya amalan tersebut ialah proses itu mudah disalah-gunakan untuk melantik sesuka hati orang-orang yang akan memainkan peranannya melalui kesetiaan sempit terhadap si pelantik. Amalan ini, dalam bidang politik, dapatlah disifatkan selaras dengan amalan kronisme dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
Perkara yang menjadikan spekulasi tentang "rombakan" kabinet itu begitu menarik ialah implikasi yang akan diserlahkannya terhadap kedudukan tokoh-tokoh dalam Barisan Nasional - terutamanya dalam Umno - dalam keadaannya menghadapi tahap sokongan rakyat yang semakin mengendur sekarang ini.
Dengan melihat siapakah yang akan diketengahkan untuk menarik kembali sokongan rakyat terhadap Umno-BN, banyak orang berharap bahawa kita akan sekurang-kurangnya dapat membuat ramalan apakah arah perkembangan pimpinan politik negara ini akan mengalir.
Namun pelantikan yang diumumkan semalam itu hanyalah memperlihatkan suatu trend yang dirasakan oleh banyak pihak sebagai kurang sihat.
Dengan menggunakan jalan "belakang" atau jalan "lain," dapatlah ditafsirkan Mahathir sedang berusaha untuk memperteguh kedudukan peribadinya. Pelantikan itu dapat dilihat sebagai usaha memagari dirinya dengan para penyokong setia sambil membalas budi mereka kerana perkhidmatan telah diberikan selama ini.
Jika keputusan pilihanraya umum lalu menunjukkan bahawa sokongan Melayu terhadap Umno telah amat merosot, namun sokongan daripada golongan wanita dikatakan masih dapat dianggap mantap. Dalam keadaan demikian, tidakkah kenaikan pangkat seorang lagi tokoh wanita Umno dan pembentukan sebuah kementerian baru suatu langkah wajar yang dilakukan demi menyelamatkan Dr Mahathir sendiri daripada tergelungsur lebih jauh ke bawah?
Apabila Dr Hamid ternyata gagal, bukan sahaja membendung pengaruh PAS tetapi juga kedudukannya sendiri, maka Ketua Pengarah Jakim ternyata telah melaksanakan peranannya dengan gagah berani. Peranan orang kuat Jakim itu (termasuklah khutbah Jumaatnya di Masjid Negara yang terang-terangan menyokong pihak pemerintah) tentulah merupakan jasa yang wajar dibalas dengan jawatan Dr Hamid yang tidak lagi berkesan itu.
Tidak dinamiskan suasana politik
Presiden sebuah parti komponen BN yang berdiam diri membiarkan parti-parti lain melaksanakan percaturan perebutan kawasan dan kerusi mereka, tentulah tidak boleh diabaikan untuk waktu yang lebih lama lagi - tanpa sebarang ganjaran politik yang wajar.
Demikianlah juga seorang kroni "berjaya" yang sanggup dalam diam memainkan peranan yang sama dalam percaturan politik dalaman Umno sendiri.
Peranan institusi media (persuratkhabaran) Melayu arus utama dalam percaturan politik peribadi Mahathir sepanjang setahun dua lalu amatlah penting dan meruncing. Sejak penyingkiran Anwar Ibrahim hingga pilihanraya umum, melalui beberapa perhimpunan agung Umno, hingga ke peringkat pencanang isu ketuanan Melayu, ancaman dunia luar dan ancaman orang Cina tempatan, media tersebut telah memainkan peranannya dengan konsisten dan setia - meski terpaksa mengalami kehilangan maruah dan kredibiliti sendiri.
Demikianlah beberapa asas yang tampaknya telah menggerakkan pelantikan beberapa tokoh dalam "rombakan kabinet" yang berlaku kelmarin.
Nyatalah bahawa rombakan itu tidak diatur demi mendinamiskan suasana politik dan pemerintahan negara. Pelantikan-pelantikan itu disusun sebegitu rupa untuk memagari seseorang dengan penyokong setia dan membalas budi mereka bagi sumbangan mereka pada masa lalu.
Lebih buruk lagi, semua itu dilakukan dengan cara mencemarkan peranan sebuah daripada institusi perundangan demokrasi yang wujud di negara ini.
RUSTAM A SANI adalah Naib Presiden, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan kolumnis


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.