Warisan persoal jika 20 Adun terlibat skandal perlombongan Sabah
Susulan dakwaan ada ‘kartel’ memohon untuk melombong kira-kira lima peratus kawasan di Sabah, Warisan berkata perkara itu menimbulkan lebih banyak persoalan, antaranya, jumlah Adun yang terlibat dalam skandal berkenaan.
Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman berkata demikian sebagai mengulas artikel FMT, yang memetik sumber mengatakan antara 2022 dan 2024, kartel itu memohon sekitar 20 lesen cari gali meliputi kawasan hampir satu juta ekar.
“Adakah ini membayangkan bahawa 20 YB (wakil rakyat) berbeza terlibat?
“Jika ya, siapakah YB ini selain mereka yang telah didedahkan oleh pemberi maklumat? Orang ramai berhak mendapat penjelasan mengenai senarai penuh individu yang dikaitkan dengan permohonan ini,” kata Azis.
Terdahulu, seorang pemberi maklumat mendakwa dia memiliki lebih banyak rakaman video berkenaan perkara itu.
Ahli perniagaan itu mendedahkan beberapa video yang didakwa mengandungi perbincangan mengenai wang yang diberikan kepada ahli politik sebagai balasan untuk menyokong permohonannya untuk memperoleh lesen cari gali sumber minirel di Sabah.
Sumber itu mendakwa lesen itu telah disyorkan kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) untuk kelulusan tanpa sebarang usaha wajar yang menyokong permohonan itu.
"Dan pada setiap mesyuarat lembaga pengarah (SMM), lebih banyak permohonan akan dikemukakan oleh syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan untuk hak melombong di kawasan yang berbeza," sumber itu dipetik sebagai berkata.
Azis berkata dengan premium RM50 bagi setiap ekar, satu juta ekar membolehkan kerajaan negeri memperoleh hasil RM50 juta.

“Adakah wang ini dibayar kepada kerajaan negeri Sabah? Jika dibayar, di manakah rekod dana ini? Jika tidak dibayar, apakah tindakan undang-undang yang telah diambil untuk mendapatkan semula jumlah yang terhutang?” Soalnya.
Azis juga merujuk kepada artikel FMT yang lain, yang memetik sumber yang tidak dinamakan di mana Hajiji didakwa diugut dan ditawarkan rasuah untuk meluluskan lesen berkenaan.
"Memandangkan lembaga itu bertanggungjawab untuk meluluskan lesen-lesen itu, siapakah ahlinya, dan adakah mereka sedar tentang dakwaan dan rasuah?"
“Adakah terdapat bantahan dalaman sebelum skandal itu diketahui umum? Orang ramai berhak mendapat akses kepada minit mesyuarat dan rekod proses membuat keputusan lembaga,” tambah Azis.
Azis turut membangkitkan isu konflik kepentingan dalam agensi kerajaan negeri selepas artikel itu menyebut kartel yang didakwa terdiri daripada seorang ahli perniagaan dan bekas pengarah beberapa agensi negeri.
“Sebutan ‘bekas pengarah beberapa agensi negeri’ menunjukkan kemungkinan pengaruh orang dalam. Adakah individu ini masih menggunakan kawalan atau pengaruh walaupun telah meninggalkan jawatan?
“Adakah terdapat sebarang semakan untuk mengelakkan konflik kepentingan dalam agensi negeri yang terlibat dalam proses kelulusan perlombongan itu?” Soal Azis lagi.

Dia turut menuntut penjelasan mengenai bilangan lesen cari gali yang telah dibatalkan.
“Adakah aktiviti perlombongan (cari gali) sudah berjalan sebelum dibatalkan? Adakah syarikat terbabit disenaraihitamkan atau disiasat lanjut?
“Kerajaan mesti mendedahkan langkah-langkah seterusnya untuk mencegah eksploitasi berterusan sumber asli Sabah,” katanya.
Azis menegaskan bahawa artikel itu tidak menyebut jika pembayaran dibuat untuk lesen berkenaan, justeru kerajaan mesti menjelaskan jika transaksi kewangan berlaku.
"Dan jika ya, apa yang berlaku kepada wang itu selepas lesen dibatalkan?" tambahnya.
Ugutan dan rasuah
Mengenai dakwaan ugutan dan tawaran rasuah membabitkan Hajiji, bekas timbalan menteri itu bertanya sama ada terdapat bukti dalam bentuk komunikasi bertulis atau rakaman.
“Jika ugutan ini boleh dipercayai dan teruk, mengapa tiada prosiding undang-undang dimulakan terhadap pelaku yang didakwa?
“Memandangkan teruknya dakwaan itu, mengapa kerajaan memilih untuk mendedahkan dakwaan ini hanya selepas bantahan awam dan pendedahan media?"soalnya.

“Ini adalah soalan kritikal oleh rakyat Sabahyang perlu dijawab. Maklum balas yang telus dan bertanggungjawab daripada kerajaan negeri adalah penting untuk memulihkan kepercayaan orang ramai dan memastikan keadilan ditegakkan,” tambahnya.
Lesen mencari gali membolehkan pemegang lesen meneroka sumber mineral yang berdaya maju dari segi ekonomi, yang akan membuka jalan kepada syarikat yang layak untuk memohon pajakan perlombongan jika kehadiran sumber tersebut disahkan.
Hajiji telah memberi jaminan bahawa sumber galian di negeri itu dilindungi dan diurus dengan teliti untuk melindungi masa depan rakyat. Setakat ini tiada pajakan perlombongan telah dikeluarkan.
Sebelum ini, ketua menteri itu berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan 26 lesen mencari gali dalam tempoh dua tahun lepas, mengikut Seksyen 6 Ordinan Perlombongan Sabah 1960.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/12/36e34d60f0bab3971cc05abde45105bf.jpg)
