Polis cekup pasangan kekasih aktif rembat tabung derma
Kelicikan sepasang kekasih yang dipercayai aktif mencuri tabung derma diletakkan di kedai-kedai makan akhirnya tumpas selepas ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang, Melaka pada 4 Dis lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata supek lelaki berusia 33 tahun dan wanita 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah malam oleh sepasukan anggota polis.
Katanya operasi tersebut berjaya dilaksanakan hasil risikan dan maklumat orang awam.
"Siasatan awal mendapati semua tabung derma dicuri mereka adalah milik madrasah dan rumah anak yatim yang diletakkan di kedai-kedai makan di sekitar Melaka dan Johor.
“Modus operandi mereka ialah dengan pergi ke warung dan kedai makan lalu berpura-pura menjadi wakil madrasah, pondok, atau rumah anak yatim untuk mengambil tabung derma berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Christopher berkata pasangan itu dipercayai giat melakukan jenayah sejak dua tahun lalu dan mula aktif di Melaka sekitar dua bulan kebelakangan ini.
Katanya polis menganggarkan suspek memperoleh pendapatan kira-kira RM250 sehari hasil daripada kegiatan tersebut
Dalam serbuan tersebut, katanya lagi, polis menemukan sebanyak 54 tabung derma, sebuah kereta, dan pemotong besi.
"Turut ditemukan satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun hijau disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira lapan gram," katanya.
Hasil tangkapan tersebut, kata Christopher, lapan kertas siasatan dibuka iaitu empat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tiga di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta satu bagi Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik.
"Mereka direman selama tujuh hari dan akan disambung reman esok (hari ini) untuk siasatan lanjut," katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/4ebbceb6a2f1ec600d752abf23cff4f0.png)
