Polis menahan 10 lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel ekoran kejayaan beberapa serbuan di Bukit Jalil dan Rawang, Selangor, pada Isnin dan semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata suspek yang berusia antara 18 hingga 44 tahun itu ditahan bersama 54 batang potongan kabel yang berlabel Telekom, tiga kereta Proton Wira dan beberapa peralatan pemotong kabel.

“Motif perbuatan mencuri ini adalah untuk dijual semula sebagai barangan lusuh,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Azam berkata semakan mendapati sembilan individu mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah dan narkotik manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati lima orang positif dadah.

Katanya semua suspek direman empat hari hingga 13 Dis ini, manakala kes disiasat bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

- Bernama