Anggota-anggota parlimen PKR menyeru Bank Negara (BNM) mengehadkan kenaikan premium insurans kepada kurang daripada 10 peratus, bagi memastikan ia mampu milik, khususnya golongan berpendapatan sederhana M40.  

Mereka menegaskan bahawa kenaikan premium yang terlalu tinggi tidak munasabah dan membebankan, selain menjejaskan sistem kesihatan awam.  

"Insurans kesihatan tidak sepatutnya menjadi perkhidmatan eksklusif untuk golongan maha kaya sahaja. 

“Jika lebih ramai beralih kepada hospital kerajaan, ia akan membebankan sistem kesihatan awam negara," tambah mereka.  

Terdahulu dilaporkan bahawa premium insurans akan meningkat sebanyak 40 hingga 70 peratus tahun depan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim setakat ini memberi jaminan bahawa kerajaan sedang menyelaraskan usaha untuk memastikan sebarang kenaikan kekal munasabah dan tidak membebankan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Jimmy Pua (Tebrau), Yuneswaran Ramaraj (Segamat), Chew Choon Mun (Miri), dan Senator Amir Ghazali.  

Dalam kenyataan itu, mereka berkata kadar kenaikan itu tidak selari dengan kadar inflasi kesihatan di Malaysia, iaitu 15 peratus–lebih tinggi daripada purata 11.1 peratus di negara-negara Asia Pasifik.  

"Namun, aduan mengenai kenaikan premium insurans sehingga 78 peratus adalah jauh melebihi kadar inflasi kesihatan di Malaysia. 

“Kami menolak kenaikan premium yang begitu tinggi dan menyeru BNM bertindak sebagai pengawal selia untuk menangani situasi ini," kata mereka.  

Mereka bagaimanapun menyambut baik komitmen Menteri Kewangan II Lim Hui Ying untuk mengumumkan penyelesaian interim bagi isu kenaikan premium insurans minggu hadapan.