WAWANCARA | Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh menafikan dakwaan bahawa Putrajaya campur tangan dalam keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan badan kehakiman.

Bercakap kepada Malaysiakini, Fuziah memetik keputusan Mahkamah Rayuan pada hari Rabu sebagai contoh, yang menyaksikan hakim memutuskan untuk mengurangkan dengan ketara jumlah yang perlu dibayar oleh bekas ahli parlimen PKR Zuraida Kamaruddin kepada bekas partinya kerana melanggar perjanjian pilihan raya.

Kata Fuziah, jika kerajaan campur tangan dengan keputusan mahkamah, keputusan kes itu tidak akan sedemikian.

“Setahu saya, perdana menteri tidak pernah campur tangan (dalam kes mahkamah). Contohnya adalah kes Zuraida. Maksud saya, seluruh PKR kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

“Tetapi kami tidak pernah campur tangan. Kalau kami campur tangan tak jadilah macam itu. Tidak adil untuk menuduh kita (campur tangan).

“Seluruh PKR berasa terhina, terutama apabila Zuraida membuat lawak, mahu membayar (RM100,000) guna wang RM1.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh

“Jadi, tiada campur tangan. Masih ada pemisahan (kuasa) dan terpulang kepada mereka (mahkamah) untuk membuat keputusan,” katanya dalam temu bual khas sempena kongres khas PKR, yang akan diadakan Ahad ini.

Fuziah diminta mengulas kritikan terhadap kerajaan persekutuan berhubung dakwaan campur tangan dalam kes berprofil tinggi melibatkan ahli politik.

Ini terutama selepas AGC pada Khamis memutuskan untuk menggugurkan rayuannya dalam kes rasuah Sistem Visa Asing (VLN) terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehari sebelum itu, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mengurangkan jumlah yang perlu dibayar Zuraida kepada PKR - daripada RM10 juta kepada RM100,000 - kerana melanggar perjanjian lompat parti.

Ia mendapati bahawa RM10 juta yang dikenakan ke atas Zuraida oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas adalah "terlalu tinggi".

Fuziah berkata PKR akan merayu keputusan itu dengan Mahkamah Persekutuan.