Penduduk empat kawasan perumahan membantah cadangan pelaksanaan projek pembinaan banglo dan pejabat kedai di kawasan pinggir bukit Hulu Kelang berhampiran tempat tragedi Highland Tower yang berlaku 14 tahun yang lalu.

Mereka mendakwa, keselamatan kira-kira 300 keluarga dari empat kawasan kediaman itu terancam jika projek tersebut dilaksanakan kerana ia terletak di pinggir bukit, kerana bimbang tragedi yang sama akan berulang.

Malaysian Allied Assurance Bhd (MAA) mahu membina 149 banglo mewah dan 460 kedai pejabat di atas tanah seluas 61.54 ekar kira-kira satu kilometer dari Highland Tower yang runtuh pada 1993.

Empat kawasan kediaman terbabit ialah Ukay Height, Taman Hijau, Dataran Ukay dan Taman TAR. Hari ini 100 penduduk berkenaan mengemukakan bantahan kepada Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussein dan MAA.

S Ramachandran dari Taman Hijau berkata, tragedi Highland Tower berlaku kerana tiada pihak yang mengawasi dinding dan longkang di kawasan perumahan tersebut.

"Saya juga mahu tahu berapa tinggi dinding yang akan dibina pemaju dan siapa yang mengawasi longkang," katanya.

Struktur pasir lemah

Beliau juga kesal kerana MPAJ menghantar dokumen dua hari lalu menyebabkan beliau tidak dapat mengkajinya secara menyeluruh bagi mengemukakan bantahan lebih tepat kepada MPAJ.

"Saya mahu MPAJ menetapkan hari lain dan pendengaran hari ini tidak adil kepada penduduk kerana ada juga penduduk yang tidak mendapat dokumen tersebut," katanya.

Seorang lagi penduduk Taman Hijau, Aziz Ibrahim berkata, 70 peratus dari keluasan tanah di kawasan tersebut bahaya untuk pembangunan kerana struktur pasir yang lemah.

Beliau mendakwa, pemaju telah gagal mematuhi garis panduan MPAJ kerana ia terletak dalam zon pembangunan terhad dan bimbang akan berlaku satu lagi tragedi Highland Tower.

Datuk Mustaffa Mahmud pula berkata, laporan Kesan Alam Sekitar (EIA) yang diserahkan pemaju kepada pihak berkuasa adalah yang dibuat dua tahun lalu.

Katanya, memang benar Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan laporan tersebut pada 3 Ogos 2005 tetapi laporan tersebut telah luput tarikh.

64 bantahan

Sementara itu, perunding perancang bagi MAA, Nor Halim Ahmad berkata, pemaju menyediakan 20 peratus untuk kawasan hijau sedangkan kerajaan hanya mengarahkan 10 peratus sahaja.

Katanya, masalah kesesakan lalulintas tidak berlaku kerana tapak projek terletak berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

"Pemaju telah membuat pelbagai kajian mengenai aspek-aspek keselamatan dan lalulintas ke atas projek terbabit sebelum dihantar kepada MPAJ untuk kelulusan," katanya.

Abdul Hamid pula berkata, jika kedua-dua pihak - pemaju dan penduduk - tidak puas hati mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan MPAJ.

Menurutnya, MPAJ telah menerima 64 bantahan dari penduduk mengenai perkara tersebut.

Katanya, hujah yang dikemukakan itu akan dibawa ke pusat setempat MPAJ sebelum tindakan lanjut diambil.

Difahamkan hari ini merupakan bantahan kali ketiga yang dibuat oleh penduduk terhadap cadangan pembinaan banglo mewah dan kedai pejabat di kawasan berkenaan.