Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan terdapat perbincangan awal dalam parti itu berhubung desas-desus penyertaan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam parti berkenaan
Perdana Menteri berkata PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk Tengku Zafrul ke dalam parti itu asalkan individu berkenaan boleh menyumbang kepada parti.
“Prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang yang boleh beri sumbangan pada parti tapi dengan (kemasukan) cara baik supaya hubungan kita dengan parti-parti (lain) termasuk Umno tidakk terjejas),” katanya.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Nasional Khas PKR di Shah Alam hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Tengku Zafrul dijangka meninggalkan Umno dan menyertai PKR, serta bakal menerajui Selangor menggantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan PKR tidak mengamalkan budaya mengajak orang lain (ahli parti lain) menyertai parti itu tetapi sedia berbincang kerana mereka mengamalkan sikap terbuka.
Katanya dalam sejarah parti, ada pemimpin PKR pernah menjadi Setiausaha Agung Amanah dan ada juga yang keluar menyertai DAP.
“Jadi berhubung dengan Keadilan (PKR), selama ini kita (sememangnya) buka ruang tapi selalunya kita runding dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Anwar menghadiri kongres itu yang antara lain bertujuan untuk meminda perlembagaan parti.
Kongres itu diadakan selepas Kongres Nasional 2024 yang dijadual diadakan di Johor hari ini tetapi ditangguhkan ekoran banjir yang melanda beberapa negeri.
Ia diadakan secara hibrid selepas mengambil kira ada dalam kalangan perwakilan datang dari negeri yang terkesan banjir.
Ketibaan Anwar disambut pimpinan utama PKR termasuk timbalan presiden Rafizi Ramli.
Turut hadir Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan parti itu Fahmi Fadzil.
Sebelum ini, Fuziah dilapor berkata Kongres Khas PKR itu antara lain akan meminda perlembagaan parti yang menyentuh jumlah perwakilan, kuota gender dan etnik.
- Bernama
