Peguam Muhammad Shafee Abdullah mengingatkan setiausaha politik Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bahawa pengurusan krisis yang lemah hanya akan memburukkan keadaan.

Justeru, peguam yang mewakili pemberi maklumat berhubung skandal rasuah wakil rakyat Sabah itu menawarkan nasihat sebagai 'membalas jasa' Roland Chia yang sebelum ini mencadangkan untuk dia menasihati anak guamnya berhenti berhubung dengan wartawan.

"Pengurusan krisis yang dilaksanakan dengan lemah selalunya boleh mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan. Anda sepatutnya membimbing ketua menteri tentang cara untuk mengelakkan kesilapan itu," katanya kepada pembantu Hajiji itu.

Shafee juga mengkritik Chia kerana memperkecilkan kemungkinan pelanggaran undang-undang berhubung dakwaan kebocoran siasatan SPRM, dengan sekadar menyifatkan ia berlaku akibat seseorang ‘mulut tempayan’ tanpa mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan itu.

“Ini adalah perkara serius yang melibatkan potensi pelanggaran Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan kemungkinan penyalahgunaan kuasa. Ia tidak boleh dipandang remeh dengan andaian,” katanya kepada Malaysiakini.

Kenyataan Chia hadir selepas Shafee mempersoalkan bagaimana ketua menteri Sabah itu mengetahui butiran kenyataan pemberi maklumat - yang merupakan anak guamnya - kepada SPRM.

Chia berkata bahawa dalam siasatan berprofil tinggi yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, maklumat sering muncul daripada pelbagai sumber.

“Lebih-lebih lagi memandangkan anak guamnya (pemberi maklumat) telah terlibat secara aktif dalam perbualan dengan wakil rakyat, wartawan dan pihak lain - dan sehingga kini masih menghubungi mereka - tidaklah menghairankan bahawa perbincangan sedemikian melangkaui kalangan persendirian.

“Daripada membuat sindiran tidak berasas terhadap ketua menteri, Shafee lebih baik menasihati anak guamnya supaya berhenti menghubungi wakil rakyat dan wartawan dengan dakwaan spekulatif atau mengelirukan bertujuan membentuk persepsi orang ramai,” kata Chia.

Ahad lalu, Shafee menyatakan "terkejut dan ingin tahu" tentang bagaimana Hajiji mengetahui anak guamnya tidak mengaku merasuah Adun Sabah semasa soal siasat SPRM, kerana maklumat tersebut dilindungi di bawah OSA.

Hajiji, yang telah menafikan dakwaan rasuah, merujuk kenyataan pemberi maklumat semasa ucapan awam.

Shafee menjelaskan bahawa anak guamnya tidak menafikan mahupun mengaku memberi rasuah, sebaliknya memilih untuk berkecuali bagi mengelak mensabitkan diri sendiri.

Menjawab dakwaan Chia tentang "naratif palsu" yang disebarkan melalui media, Shafee merujuk kepada artikel yang memetik sumber tanpa nama yang menuduh pemberi maklumat cuba memeras ketua menteri dan menjadi sebahagian daripada kartel yang ingin memonopoli lesen perlombongan di negeri itu.

“Bukankah artikel-artikel ini cubaan untuk membentuk persepsi orang ramai apabila terbukti tiada laporan polis dibuat mengenai cubaan peras ugut itu?

“Bagaimana pula dengan mencadangkan bahawa video berkenaan derma politik dan bukannya rasuah meski siasatan belum selesai? Adakah ini bukan percubaan manipulasi juga?” soalnya.

Shafee menegaskan bahawa anak guamnya mempunyai hak demokrasi yang sama untuk berkongsi dakwaannya melalui media dan platform awam seperti yang dilakukan oleh Hajiji.

Mengimbas kembali cabaran pemberi maklumat kepada Hajiji untuk menyamannya kerana fitnah, peguam itu berkata: "Anak guam saya telah menawarkan penyelesaian untuk menyelesaikan kemelut ini."

“Mungkin Chia patut menasihati ketua menteri supaya menerima tawaran itu bagi membuktikan dakwaan itu tidak berasas dan video itu disunting di mahkamah terbuka,” tambahnya.

Minggu lalu, SPRM berkata ia telah merekodkan kenyataan 15 individu, termasuk pemberi maklumat, berhubung video itu.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pemberi maklumat enggan mengemukakan bukti dalam simpanannya kerana masih memohon perlindungan daripada akibat undang-undang.

Semalam, seorang ketua Pemuda Warisan membuat laporan polis berhubung ucapan Hajiji yang seolah-olah memiliki maklumat mengenai kandungan kenyataan pemberi maklumat kepada SPRM.