Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang menghuni rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di Johor Bahru merayu dipindahkan ke unit kediaman di tingkat bawah setelah kesihatannya dan isteri merosot sehingga menyukarkan mereka bergerak.

Jalil Zaman, 58, yang menetap di tingkat lima PPR itu berkata penglihatan mata kanannya hilang sejak 2000 dan kiri pula pada 2018 manakala isterinya, Fauziah Mat Nor, 51, sakit tulang belakang atau slip disc selain turut mempunyai masalah kesihatan pangkal rahim.

“Dalam keadaan kesihatan seperti ini, sukar untuk kami naik turun bagi lakukan urusan harian seperti membeli barang dapur dan mendapatkan rawatan, apatah lagi saya berstatus OKU kerana glaukoma dan katarak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Jalil berkata sebelum hilang penglihatan, dia bekerja sebagai pemandu lori dengan dibayar gaji hari dan kini bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

“Wang itulah digunakan buat bayar sewa, beli makanan serta jelaskan bil. Untuk ubat, kami simpan sedikit demi sedikit wang bantuan kerana perlu membelinya di farmasi dengan harga bagi enam jenis ubat dianggarkan RM700,” katanya sambil memaklumkan dia perlu menjalani pembedahan bagi membantu memulihkan penglihatannya dengan kos dianggarkan lebih RM7,000.

Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasonal (BSN) 01100-29-87741161-3 atas nama Jalil Zaman.

Terdahulu, Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam menyampaikan sumbangan berbentuk barangan dapur, perkakas rumah dan barangan elektrik kepada pasangan suami isteri itu yang tidak mempunyai anak serta ahli keluarga terdekat untuk membantu meringankan urusan harian mereka.

- Bernama