Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mengapa Anwar tak bangkitkan 'pendakwaan tergesa-gesa' pada 2018?'
Diterbitkan:  Dec 21, 2024 5:58 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak membangkitkan isu mengenai “pendakwaan tergesa-gesa” seperti yang diperkatakannya pada tahun 2018.

Ini susulan kenyataan Anwar hari ini yang mengatakan beberapa kes berprofil tinggi ketika itu "cacat" akibat pendakwaan yang “tergesa-gesa dan bermotifkan politik dendam”.

"Mengapa sekarang? Mengapa berdiam diri sejak 2018?" kata Rafique Rashid dalam satu kenyataan hari ini.

"Ini datang daripada seorang lelaki yang pernah disamakan dengan Gandhi dan Mandela. Seorang reformis yang kononnya bercakap tanpa rasa takut atau pilih kasih," tambahnya.

Rafique - yang juga seorang peguam - turut mendakwa Anwar secara tidak langsung telah "mengambil alih" peranan peguam negara dengan membuat kenyataan sedemikian.

Kenyataan Anwar itu muncul selepas isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram dan mengelak cukai.

Hakim membenarkan permohonan Rosmah untuk menggugurkan kes itu atas alasan pertuduhan tersebut cacat dan gagal mendedahkan elemen penting kesalahan yang didakwa.

Anwar menegaskan dia tidak campur tangan dalam kes tersebut dan pihak pendakwaan sedang membuat rayuan terhadap pembebasan itu.

Bagaimanapun Rafique mendakwa perdana menteri cuba menimbulkan keraguan terhadap kes-kes melibatkan ahli politik Umno yang bermula sejak 2018 untuk terus kekal berkuasa.

Pada September 2023, Anwar berkata tuduhan rasuah kes Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid Hamidi - yang juga timbalan perdana menteri - adalah meragukan dan tidak dijalankan secara profesional, sambil menyatakan ia bermotifkan politik.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap keputusan pendakwaan menarik balik tuduhan terhadap Ahmad Zahid dalam kes tersebut.

Bekas peguam negara Tommy Thomas pula berkata Anwar tidak pernah membangkitkan kebimbangan sedemikian ketika mereka bertemu antara 2018 hingga 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS