Kerajaan digesa tidak membazirkan kira-kira RM20 bilion wang rakyat apabila membuat keputusan untuk membiayai semula sepenuhnya projek empangan Bakun yang ditangguhkan sejak 1997.

Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Dr Kua Kia Soong menyifatkan perbelanjaan itu "bodoh" dan projek itu sebagai "impian megalomania" dan tidak kos efektif.

"Bank Dunia tidak lagi menanggung pembinaan empangan Bakun. Malah Suruhanjaya Empangan Sedunia telah mengesahkan bahawa pembinaan ini tidak berasas," katanya kepada malaysiakini hari ini, apabila diminta mengulas laporan Business Times semalam.

Akhbar itu melaporkan kerajaan bercadang menjual bon di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk menampung perbelanjaan projek itu yang akan menghasilkan 2,400 megawatt.

Ditanya tentang pembinaan kabel dasar laut untuk membawa bekalan elektrik ke Semenanjung yang memakan belanja dua pertiga daripada kos keseluruhan empangan tersebut, Kua berkata ia "tidak masuk akal" dan berisiko tinggi.

"Saya telah membangkitkan isu ini lima tahun lalu kerana kawasan Laut China Selatan menghadapi risiko bencana ombak tsunami.

"(Laut) tersebut juga merupakan kawasan yang sedang menjadi pertikaian oleh beberapa negara lain dan jika berlaku peperangan kabel ini mudah diserang," kata Kua lagi.

Sebelum krisis ekonomi 1997, perbelanjaan pembinaan empangan tersebut diramalkan berjumlah RM13.5 bilion. Bagaimanapun menurut laporan akhbar perniagaan itu, kos akhir berjumlah RM20 bilion.

Setakat ini, kerajaan telah membelanjakan RM1 bilion dan RM800 juta daripadanya dibayar sebagai pampasan kepada syarikat pemaju asal projek ini, Ekran Berhad.