Pemaju projek cadangan pembinaan 149 unit banglo dan 460 pejabat-kedai di kawasan lereng bukit di Hulu Klang - berhampiran tapak tragedi Highland Tower yang mengorban 48 orang pada 1993 - mendakwa penduduk empat taman perumahan sekitarnya, menggunakan orang luar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghalang pelaksanan projek tersebut.

Penduduk Ukay Height, Taman Hijau, Taman TAR dan Dataran Ukay membantah cadangan pelaksanaan projek tersebut di kawasan pinggir bukit itu kerana mendakwa ia hanya terletak kira-kira satu kilomter dari kawasan tragedi Highland Tower.

Mereka mendakwa, projek tersebut, jika dilaksanakan, akan mengancam keselamatan kira-kira 300 keluarga empat taman perumahan terbabit, kerana bimbang tragedi Highland Tower akan berulang. Pemaju projek tersebut ialah Malaysian Alliance Assurance (MAA) Berhad.

Bagaimanapun, Perunding Urusan Kanan MAA, Ho Chin Hoy berkata, jaraknya bukan satu kilometer tetapi tiga kilometer dari kawasan tragedi Highland Tower.

Ho mendakwa, penduduk berkenaan telah menggunakan orang luar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggagalkan projek tersebut yang tergendala sejak lima tahun yang lalu.

Penduduk mendakwa projek pembinaan di lereng bukit tidak selamat tetapi Ho mendakwa pihak berkuasa telah meluluskan aspek keselamatan dan lalulintas yang yang dijalankan oleh perunding-perunding yang dilantik pemaju.

Projek tertangguh

Menurutnya, projek tersebut sepatutnya dimulakan pada tahun 2002, tetapi ekoran bantahan penduduk di kawasan sekitarnya, ia tertangguh hingga sekarang.

Ho mendakwa, apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) cuba mendapat maklum balas penduduk, orang luar dan NGO tampil membantah supaya projek tersebut dibatalkan.

Sehingga ini, katanya, sudah tiga kali penduduk membantah projek tersebut dan MPAJ belum memberi kata putus sama ada cadangan projek itu akan diteruskan atau sebaliknya.

"Mereka datang beramai-ramai setiap MPAJ mengadakan sesi perbincangan untuk mendapatkan maklumbalas penduduk. Mereka membantah kononnya projek tersebut membahayakan penduduk taman sekitar.

"Mereka bersama penduduk sekitar hanya mahu mencari salah pemaju dengan membuat pelbagai tuduhan untuk mempengaruhi MPAJ supaya tidak membenarkan projek ini dilaksanakan," katanya kepada malaysiakini .

Ho berkata, pihaknya sudah cuba mengatur majlis dialog dengan penduduk berkenaan tetapi gagal kerana mereka tidak mahu menghadirinya.

Jaminan pemaju

"Banyak dakwaan penduduk yang tidak berasas seperti pencemaran di kawasan hutan simpan dan lalulintas di kawasan rumah mereka.

"Jarak tempat projek ini kira-kira tiga kilometer dari kawasan hutan simpan dan lori tidak melalui kawasan rumah mereka," katanya.

Ho berkata, laluan utama ke projek tersebut ialah melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) dan bukannya melalui kawasan taman perumahan berkenaan.

Katanya, MAA memberi jaminan, melalui kajian yang telah dibuat, projek tersebut selamat dan tidak menjejaskan struktur rumah mereka.

"Sikap penduduk juga boleh menghalang pihak lain untuk memajukan kawasan tersebut dan ini merugikan mereka sendiri," katanya.

Ho berkata, 13 jabatan dan agensi kerajaan telah meluluskan laporan yang dibuat oleh perunding MAA mengenai keselamatan dan lalulintas bagi projek tersebut.