Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya menangguhkan cadangan menaikkan 10 peratus kadar tol yang dijangka bermula awal tahun depan.

Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud berkata, sebarang kenaikan kadar tol akan menyebabkan berlakunya rantaian kenaikan barangan keperluan, perkhidmatan dan pengangkutan.

"Kenaikan kadar tol di lapan konsesi tol di seluruh negara, seperti yang dinyatakan oleh Datuk S Samy Vellu baru-baru ini, akan lebih membebankan golongan pekerja di sektor swasta mahupun kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenaikan 10 peratus kadar tol itu melibatkan syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, North South Expressway Central Link (Elite), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, New North Klang Straits Bypass (Shahpadu), Link Kedua Malaysia-Singapura, Butterworth-Kulim Expressway dan Jambatan Pulau Pinang.

"MTUC berpendapat, keputusan kerajaan menolak tuntutan Gaji Minima RM900 dan Cola RM300 sudah cukup menyiksa golongan pekerja," katanya.

Jika kadar tol pula dinaikkan, Syed Shahir berkata, ia akan menambahkan lagi bebanan tanggungan mereka.

Menurutnya, keadaan sosio-ekonomi golongan pekerja akan lebih parah lagi apabila mereka terpaksa menampung kos perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka awal tahun hadapan.

"Golongan pekerja bakal lebih tertekan lagi apabila kerajaan bercadang menaikkan harga petrol dan harga gas memasak, yang juga dijangka dinaikkan serentak pada 1 Januari tahun depan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, kadar tol tidak akan dinaikkan tahun depan.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet esok.