P'raya kampus: Pemuda Umno nafi tuduhan BBMN
Pergerakan Pemuda Umno menafikan pihaknya terbabit dalam sebarang kejadian yang tidak diingini yang dilaporkan berlaku sewaktu kempen pilihanraya kampus di universiti awam di seluruh negara.
Pergerakan Pemuda Umno menafikan pihaknya terbabit dalam sebarang kejadian yang tidak diingini yang dilaporkan berlaku sewaktu kempen pilihanraya kampus di universiti awam di seluruh negara.
Pengerusi Biro Pendikannya, Ahmad Ikmal Ismail berkata memang mudah untuk membuat tuduhan terhadap Pemuda Umno tetapi ia mestilah disertakan dengan bukti.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak-pihak yang mempunyai bukti ada ahli pergerakan itu terbabit dengan keganasan dan salahlaku dalam pilihanraya kampus supaya tampil ke hadapan.
Ahmad Ikmal menegaskan demikian ketika diminta mengulas tuduhan Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Abdullah Abdul Rahman - dalam suratnya dalam malaysiakini - bahawa kumpulan Aspirasi yang didakwanya ditaja Umno, telah menjalankan kempen secara ganas dan samseng 'meniru gaya Umno dalam pilihanraya kecil Ijok'.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dakwa Abdullah, kumpulan Pemuda Umno telah mengancam kumpulan pro-mahasiswa.
Manakala di Universiti Malaya (UM) berlaku perbuatan mengoyak kain rentang calon 'anti-establishment'
"Saya tidak mengarahkan ahli Pemuda Umno membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang kampus kerana keganasan bukan budaya kita," kata Ahmad Ikmal.
"Untuk apa Pemuda Umno masuk ke kampus? Mereka ada bukti ahli kami melakukan kekasaran? Jika ada bukti, sila berikan untuk kami ambil tindakan," katanya.
Ahli GPMS
Sebaliknya, kata Ahmad Ikmal, beliau mendapat tahu bahawa ada ahli dan penyokong BBMN bertindak membakar bendera Umno di Universiti Malaya (UM) beberapa hari lalu.
Pilihanraya kampus kali ini menyaksikan saingan sengit antara kumpulan 'pro-establishment' (Aspirasi) yang dikaitkan dengan Umno dengan kumpulan 'anti-establishment' (pro-mahasiswa) yang dikaitkan dengan pembangkang.
Sementara itu, jurucakap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata, ahli gabungan tersebut yang menuntut di universiti awam, diberi kebebasan untuk menyokong calon pilihan mereka.
Beliau berkata, pihaknya hanya akan mengambil tindakan jika mereka melanggar undang-undang seperti berkelakuan ganas atau menghasut.
"GPMS - walaupun menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) - tetapi kami tidak mengeluarkan arahan kepada ahli mesti menyokong atau mengundi calon Aspirasi," katanya.
Jurucakap itu berkata, kebebasan tersebut bagi membolehkan mereka menjadi pelajar yang matang dan pemimpin berwawasan apabila tamat pengajian nanti.

