Pita Lingam: Protes di mesyuarat sulung panel bebas
Panel tiga anggota yang ditubuhkan untuk menyiasat kesahihan klip video peguam Datuk VK Lingam mengadakan mesyuarat sulungnya di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuala Lumpur pagi ini.
Panel tiga anggota yang ditubuhkan untuk menyiasat kesahihan klip video peguam Datuk VK Lingam mengadakan mesyuarat sulungnya di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuala Lumpur pagi ini.
Mesyuarat panel yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor itu bermula kira-kira jam 9.45 pagi. Dua lagi anggotanya ialah Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.
Pada kira-kira jam 10.20 pagi, kira-kira 30 orang dari kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai 'Jawatankuasa Pemandu untuk Membebaskan Badan Kehakiman' tiba di pejabat Suhakam.
Kumpulan tersebut diketuai oleh anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Latheefa Koya dan Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng.
Kumpulan itu mahu menyerahkan satu memorandum, menuntut supaya panel tersebut menghentikan mesyuaratnya, kerana bidangkuasanya yang terhad dan tidak puashati dengan keanggotaannya.
Setiausaha panel bebas itu, Datuk Abdullah Sani Ab Hamid, yang mengadakan perundingan dengan kumpulan tersebut, kemudiannya berkata, hanya seorang wakil dibenarkan masuk ke bilik mesyuarat untuk menyerahkan memorandum.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut tidak bersetuju dan mendesak supaya lebih ramai wakil dibenarkan masuk atau Haidar sendiri keluar menerima memorandum itu.
Gagal serah memo
Mereka gagal menyerahkan memorandum itu selepas beberapa pusingan rundingan dengan Abdullah yang memakan masa kira-kira 30 minit kerana kedua-dua pihak enggan beralah.
Ketika kumpulan tersebut sedang berunding - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Timbalan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Abu Kasim Mohamad - tiba di situ.
Bagaimanapaun, mereka tidak dapat masuk ke bilik mesyuarat kerana kehadiran kumpulan berkenaan, dan dibawa masuk ke bilik lain.
Pada jam 10.50 pagi, Gani mencelah masuk ke bilik mesyuarat, melalui kumpulan tersebut, yang melaungkan 'Tidak mahu panel bebas, kami mahu suruhanjaya diraja'.
Kira-kira 20 kemudiannya, Ketua Pengarah ACA, Datuk Ahmad Said Hamdan tiba di pejabat Suhakam yang sesak dengan para pemberita dan jurugambar.
Bidangkuasa terhad
Bercakap dalam sidang akhbar, Latheefa berkata, tiada gunanya ditubuhkan panel tersebut yang mempunyai bidangkuasa terhad dan tidak mempunyai kuasa untuk mensapena saksi.
Beliau juga mengkritik pelantikan Haidar dan Lee sebagai anggota panel bebas itu.
Menurut Latheefa, Haidar sendiri terbabit dalam skandal krisis kehakiman pada 1988 manakala terdapat lebih 10 kematian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang masih belum disiasat. Lee adalah pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara.
Yap pula berkata, panel tersebut ditubuhkan tanpa berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan.
Peguam Amer Hamzah Arshad, yang turut hadir, mempersoalkan kesahihan panel tersebut di segi undang-undang kerana ia tidak ditubuhkan menurut sebarang perundangan yang relevan, terutamanya Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
"Hanya kerana penubuhannya diumumkan (oleh Timbalan Perdana Menteri), tidak bermaknanya panel itu sah di segi undang-undang," hujahnya.
Kumpulan itu beredar dari situ selepas selesai sidang akhbar tersebut pada kira-kira jam 11.15 pagi.
Mesyuarat pertama itu tamat jam 12.45 tengahari.
Bimbang kemungkinan kumpulan itu akan datang semula, Abdullah bertanya kepada para wartawan sebelum membenarkan mereka masuk ke bilik mesyuarat sama ada kumpulan itu masih ada di situ.
Tiada kuasa paksa saksi
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Haidar (foto) menegaskan bahawa panel bebas itu tidak mempunyai kuasa-kuasa khas untuk memaksa saksi-saksi tampil memberi keterangan.
Menurutnya, panel tersebut meminta mereka yang boleh membantu mengesahkan kesahihan klip video tersebut supaya tampil 'secara sukarela'.
Ditanya sama ada panel tersebut akan memberi perlindungan kepada para saksi, Shankar answered: "Kebenaran adalah senjata terbaik. Keadilan adalah perlindungan terbaik".
Anggota panel tersebut juga ditanya sama ada mereka akan memanggil Lingam - individu utama dalam kontroversi klip video tersebut, Haidar menjawab: "Jika dia mahu datang...," sambil menambah: "Saya tak tahu".
Shanker kemudiannya mencelah dan bertanya kepada wartawan yang hadir di sidang akhbar tersebut: "Kamu tahu di mana dia berada?".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.