Polis tahan 5 suspek bantu siasatan kes 2 lelaki rentung
Polis semalam menahan lima lelaki termasuk seorang warga asing kerana disyaki terlibat dalam kejadian kebakaran sebuah rumah yang mengakibatkan dua lelaki rentung di Tongkang Yard, dekat Alor Setar, Kedah.
Ketua Polis Kedah Fisol Salleh berkata suspek berusia 19 hingga 53 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah Alor Setar hasil risikan, selain selepas meneliti satu laporan polis yang dibuat seorang warga emas berumur 60 tahun sehari sebelum kebakaran.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah semalam, Fisol berkata laporan oleh warga emas terbabit mengaitkan seorang daripada suspek dengan jenayah curi telefon.
Katanya polis percaya kebakaran tersebut adalah akibat perbuatan khianat yang berpunca daripada perasaan dendam.
Fisol berkata semua suspek direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek terbabit positif dadah.
Menurut Fisol lagi, polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti mangsa dan laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
Kelmarin media melaporkan seorang warga emas dan anak angkatnya berusia 20-an ditemukan rentung dalam kebakaran yang dipercayai berlaku pada jam 6.51 pagi.
Sementara itu Fisol berkata polis menahan seorang penggangur berusia 23 tahun pada 12.30 tengah malam Isnin lalu di Kupang dekat Baling kerana disyaki terlibat dalam kebakaran membabitkan sembilan rumah di daerah berkenaan.
"Suspek dipercayai bertindak demikian kerana dendam akibat sering dibuli," katanya.
Dia berkata suspek direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat.
Pada 12 Jan lalu Ketua Polis Daerah Baling Supt Azmi Mokhtar berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran sembilan rumah dalam tempoh 10 hari di daerah itu membabitkan unsur khianat.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/04/58bbdc933bc7ebf369758a71bbc3b42e.jpg)
