PAS akan menyebarkan berita dari internet dan blog secara besar-besaran kepada penduduk luar bandar menjelang pilihanraya umum akan datang, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, penyebaran maklumat dalam internet dan blog itu adalah untuk membolehkan mereka mengetahui situasi sebenar yang berlaku di dalam negara.

"Penggunaan internet dan blog sangat terhad di kawasan luar bandar kerana kemudahan yang tidak mencukupi dan penduduknya pula tidak memahami bahasa Inggeris.

"Blog-blog ini pula hanya dibaca oleh orang Melayu elit yang tinggal di bandar. Jadi berita-berita tersebut, khususnya dalam bahasa Malaysia, dicetak seberapa banyak sebelum diedarkan kepada penduduk luar bandar.

"Ini penting kerana selama ini media arus perdana besar mengawal penyebaran berita di kalangan penduduk luar bandar dan penduduk mendapat apa yang ada dalam akhbar itu sahaja.

"Tugas pembangkang adalah untuk menghantar apa yang ada dalam internet kepada pengundi luar bandar dan jika berjaya, maka runtuhlah penguasaan media arus perdana," katanya di majlis berbuka puasa bersama wartawan di ibu negara semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali; Bendahari Agung, Dr Hatta Ramli dan Pengarah Penyelidik, Dr Zulkifli Ahmad serta kira-kira 20 wartawan tempatan.

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, penggunaan internet dan blog sebagai medium penyampai maklumat, berkesan kepada penduduk di kawasan bandar.

Katanya, ini dapat dilihat dengan kenyataan pemimpin Barisan Nasional (BN) bahawa parti itu akan kalah di beberapa kerusi di kawasan bandar kesan daripada penggunaan internet dan blog.

Sementara itu, Husam berkata, PAS meramalkan dalam pilihanraya umum akan datang, rakyat akan membuat undi protes terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Program bertemu rakyat

Katanya, mood rakyat yang tidak suka kepada dasar-dasar kerajaan, melintasi semua kaum dan ianya berlaku di seluruh negara.

"Ditambah dengan pelbagai isu yang sedang berlaku sekarang, BN akan mengalami nasib seperti yang mereka alami dalam pilihanraya umum 1969.

"BN (ketika itu Perikatan) telah menang besar pada 1964 dan tewas teruk di beberapa negeri dalam pilihanraya berikutnya," katanya.

Husam berkata, beliau berkata demikian berdasarkan maklum balas yang PAS perolehi daripada pelbagai program bertemu rakyat yang diadakan oleh parti itu di seluruh negara.

Beliau juga berkata, PAS akan menentang BN di seluruh negara dan bukan hanya bertumpu di Kelantan yang diperintah parti pembangkang itu sejak 17 tahun lalu.

Katanya, ini bermaka PAS akan berkerja kuat sama seperti yang mereka lakukan di Kelantan apabila parti itu bertanding negeri-negeri lain, walaupun bukan di kawasan kubu kuatnya.