Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanusi setaraf dengan pentaasub PAS saja, dakwa Mujahid
Diterbitkan:  Feb 3, 2025 12:41 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Amanah berpendapat, Muhammad Sanusi Md Nor, sepatutnya mampu membezakan dirinya sebagai pemimpin dengan ramai ahli PAS yang mudah percaya kepada maklumat yang tidak benar.

Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof, berkata ketika ada ramai ahli PAS yang termakan dengan dakwaan liar, Menteri Besar Kedah itu sepatutnya boleh membuat perbezaan dan berhati-hati semasa membuat kenyataan.

"Amanah mahu mengingatkan Datuk Seri Sanusi supaya tidak keliru dengan dakwaan bahawa parti ini lahir dari DAP sepertimana ramai ahli PAS yang dikelirukan oleh pemimpin mereka dengan pelbagai dakwaan pelik dan tidak dibuat membuat kajian rapi demi bahan politik murahan bermotifkan perkauman dan agama yang sempit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mujahid, parti Amanah ditubuhkan untuk membawa agenda rahmah untuk semua tanpa mengira kaum dan agama demi membentuk negara yang bertanggungjawab, telus dan berpaksikan kepada prinsip maqasid syariah.

Kata ahli Dewan Negara itu lagi, parti itu diasaskan selepas PAS membawa politik fitnah dan perpecahan dengan bertopengkan Islam.

"Amanah lahir atas hasrat untuk menjaga nama baik Islam dalam amalan politiknya, bukan sebab cetusan daripada DAP!" katanya lagi.

Tutur kata diperhatikan

Pada 31 Jan lalu Sanusi mendakwa Amanah ditubuhkan oleh DAP paa 2015 kononnya sebagai rancangan jangka panjang parti itu untuk melemahkan PAS.

Untuk rekod PAS dan DAP adalah rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat yang dibentuk bersama PKR sebagai menghadapi BN dalam pilihan raya. Bagaimanapun berlaku krisis dalaman PAS apabila dua aliran bertembung dalam parti itu dan memuncak pada 2015.

Sejumlah pemimpin kanan PAS kemudian disingkirkan dalam pemilihan parti pada tahun tersebut dan ia membawa kepada penubuhan Amanah tidak lama kemudian.

Pada 1 Feb lalu Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, menyanggah dakwaan Sanusi dan menegaskan parti itu sedang meneliti kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Pengarah Pilihan Raya PN berkenaan.

Muhammad Sanusi Md Nor

Mahfuz juga menjelaskan Amanah lahir ekoran penolakan ahli PAS terhadap hala tuju parti tersebut.

Kata Mujahid laporan polis sudah dibuat di pelbagai lokasi sebagai langkah Amanah menyanggah dakwaan perkauman yang dibawa PAS untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat negara ini.

"Amanah yang akan berusia 10 tahun pada 16 Ogos ini akan tetap istiqamah dengan cita-citanya membawa Rahmah kepada rakyat Malaysia.

"Walaupun kecil tetapi Amanah tidak membawa politik fitnah dan kebencian, sebaliknya membawa politik rahmah dan kesatuan.

"Sanusi boleh terus memperlekehkan apa sahaja yang tidak sebulu dengannya tetapi rakyat menatap setiap tutur kata dan tindakan Menteri Besar Kedah itu.

"Pentaasub PAS pula hanya akan mengulang berkenaan kerana kejahilan fakta.

"Hari ini panglima perang PAS berstatus menteri besar terbukti tarafnya sama saja seperti pentaasub kerana bercakap tanpa fakta," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS