Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yeoh mohon batal keterangan empat saksi pensyarah UUM
Diterbitkan:  Feb 3, 2025 1:58 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memohon untuk membatalkan keterangan empat saksi yang menyokong pembelaan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, dalam saman fitnah yang difailkannya.

Peguamnya, Sangeet Kaur Deo, membangkitkan bantahan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, yang mendengar tindakan sivil berkaitan dakwaan wujudnya agenda untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Pertikaian undang-undang itu berpusat pada buku memoir Yeoh, "Becoming Hannah", yang menurut ahli Parlimen Segambut itu, merupakan biografi peribadi tentang perjalanannya menceburi dunia politik tanpa sebarang agenda untuk memurtadkan orang Islam menjadi Kristian.

Sangeet Kaur Deo

Sangeet memaklumkan hakim Aliza Sulaiman bahawa bantahan pihak pembelaan plaintif adalah terhadap keterangan empat saksi, iaitu Ibrahim Abu Shah, bekas senator Dewan Negara dan naib canselor Universiti Teknologi Malaysia (UiTM); Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminudin Yahaya; bekas pengarah eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Harizal Hassan; dan penulis bebas, Helen Ang.

Sangeet berhujah bahawa keterangan empat saksi tersebut berada di luar skop pembelaan Kamarul, iaitu justifikasi (bersedia untuk membuktikan kata-kata di mahkamah), keistimewaan berkelayakan, dan ulasan adil.

Bagaimanapun, peguam utama pensyarah UUM, Khairul Azam Abdul Aziz, memaklumkan mahkamah sivil bahawa pihak pembelaan defendan terkejut kerana pasukan peguam Yeoh hanya membangkitkan isu tersebut hari ini.

Kamarul Zaman Yusoff

Khairul berkata peraturan Majlis Peguam mengenai etika menyatakan bahawa pihak lawan perlu dimaklumkan terlebih dahulu mengenai sebarang bantahan awal yang ingin dibangkitkan oleh pihak lawan.

Peguam itu menambah bahawa pasukan defendan juga perlu diberikan masa yang munasabah untuk menyediakan hujah balas mereka terhadap bantahan Yeoh.

Hakim Aliza kemudian berkata dia akan mendengar hujah lisan Sangeet hari ini berhubung bantahan itu, dan Khairul diberi masa sehingga esok untuk menyediakan hujah balas.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS