Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemberi maklumat tak boleh dilindungi jika lapor ke media dahulu - Azalina

PARLIMEN | Kerajaan tidak bercadang meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) untuk membolehkan pemberi maklumat melaporkan kepada pihak media terlebih dahulu sebelum membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa pemberi maklumat perlu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu.

Katanya, ini supaya agensi yang berkenaan dapat menentukan sama ada maklumat yang diberikan adalah penting serta sama ada ia perlu diklasifikasikan sebagai kes lama atau kes baru.

"Apabila kita pergi kepada agensi kuatkuasa, dan kita adalah pemberi maklumat, kita mahukan perlindungan, agensi penguatkuasa akan memberikan justifikasi tersebut.

"Maknanya, dia tak boleh kita pergi kepada public domain, kemudian kita nakkan supaya mendapat perlindungan," katanya.

Azalina menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) dari DAP, yang bertanya mengenai pemberi maklumat dalam pendedahan Malaysiakini berhubung dakwaan rasuah melibatkan sekumpulan Adun di Sabah.

Pemberi maklumat tersebut, yang merupakan seorang ahli perniagaan, mendedahkan beberapa siri video membabitkan Adun Sabah yang didakwa terlibat dalam perbincangan mengenai rasuah untuk membntu mendapatkan permohonan lesen cari gali mineral.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menafikan dakwaan itu dan nenyifatkannya sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri dan mencemarkan nama baiknya.

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan berhubung skandal itu telah selesai dan kertas siasatan telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa pemberi maklumat tidak selalu memberikan maklumat mereka dengan niat baik.

Menurutnya ada pihak yang memberikan maklumat kerana isu peribadi atau ketidakpuasan hati.

Azalina berkata cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat akan dibawa ke kabinet pada mesyuarat akan datang dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat dalam sidang kali ini.

Pindaan yang dicadangkan termasuk:

Seksyen 6: Untuk mengelakkan konflik dengan undang-undang lain yang sedia ada,

Seksyen 11: Untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat jika maklumat diberikan dengan suci hati tanpa melibatkan kepentingan peribadi,

Mencegah percanggahan dalam Seksyen 8 dan 14 melalui peruntukan baharu untuk memastikan agensi penguatkuasaan dapat menjalankan siasatan dengan berkesan dan cekap,

Pengenalan skala ganjaran standard untuk memberi insentif kepada pemberi maklumat,

Memperluas perlindungan saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 kepada pemberi maklumat, dan

Penubuhan pasukan petugas sebagai sebahagian daripada peralihan kepada agensi berpusat untuk mengukuhkan tadbir urus berkaitan perlindungan pemberi maklumat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS