Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan siasatan terhadap dua individu yang terlibat dalam kontroversi "ham" baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, hal itu kerana PDRM perlukan bantuan daripada agensi penguat kuasa lain yang turut terkait dalam siasatan tersebut.
Katanya, agensi yang terlibat dalam siasatan kes Harith Iskander dan pengguna Facebook dikenali sebagai Cecelia Yap Song KL itu ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kita (PDRM) memerlukan laporan forensik daripada SKMM, sebab itu ia mengambil sedikit masa," katanya dipetik Sinar Online hari ini.
Apabila maklumat yang diperlukan itu diperolehi nanti, tambah Razarudin, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini ada pihak tertentu mendakwa PDRM tidak memberikan reaksi seimbang di antara kes melibatkan Harith Iskander dan Yap.
Misalnya Pemuda PAS Malaysia yang menganggap pihak berkuasa wajar bertindak segera seperti ke atas seorang lelaki yang didakwa di mahkamah kerana mengugut keluarga pelawak terbabit.
Timbalan ketuanya, Mohd Hafez Sabri, berkata apa yang berlaku itu menunjukkan ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang yang sepatutnya melindungi keharmonian antara agama di negara ini.