Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: 2 suspek tembak polis Thai mungkin tiada di M'sia
Diterbitkan:  Feb 4, 2025 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Polis berkata dua suspek yang dipercayai menembak mati seorang pegawai kanan polis Thailand dan anaknya, berkemungkinan tidak berada di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak termasuk polis Thailand, berkenaan kes itu.

“Kita bertindak berdasarkan laporan berita dilaporkan media, kerana tidak mahu penjenayah dari sana (Thailand) masuk ke sini.

"Kemungkinan kedua-dua mereka tidak berada di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Op Selamat 23 di sini hari ini.

Razarudin berkata polis sentiasa memperketat kawalan keselamatan di pintu sempadan dan jalan tikus berhampiran Sungai Golok, Kelantan.

Beliau berkata komitmen itu juga untuk menangani isu ketirisan barang kawalan daripada diseludup masuk dan keluar negara.

“Ini termasuk pangkalan haram atau jalan tikus yang menjadi tempat mereka menyeludup.

"Sehingga kini, rampasan bernilai kira-kira RM400,000 di Sungai Golok dalam masa dua bulan berjaya dilaksanakan Pasukan Gerakan Am (PGA), Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP),” katanya.

Pada 24 Jan, media melaporkan polis berada dalam keadaan waspada berikutan dua suspek kes bunuh seorang pegawai kanan polis Thailand berkemungkinan telah melarikan diri ke negara ini.

Razarudin dilaporkan berkata kedua-dua mereka berkemungkinan bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Suspek Abdullah Samok, 30, dan Abdullah Bulat, 40, masing-masing berasal dari daerah Chanae dan Rueso di Thailand, dikatakan mempunyai 14 waran tangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan isu keselamatan.

Dalam kejadian itu, mangsa Left Kol Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya Senior Sjn Mejar Dome Chuaythewarit, 35, maut dalam serangan hendap di Narathiwat, Thailand.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS