Mahkamah Tinggi, di Ipoh, hari ini diberitahu bahawa mangsa dalam kes rogol pembantu rumah atau amah membabitkan bekas ahli majlis kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong telah menarik kembali keterangannya.
terhadap bekas majikannya itu.
Peguam bagi warga Indonesia itu memberi keterangan bahawa anak guamnya telah menarik balik dakwaan rogol terhadap bekas majikannya.
Pathu Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bahawa wanita itu menarik balik dakwaan tersebut melalui suatu akuan berkanun yang disahkan di Indonesia.
Peguam Yong, Salim Bashir, mengesahkan bahawa Pathu memberikan keterangan itu semasa pendengaran permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan bagi membatalkan sabitan rogol terhadap bekas Adun Tronoh itu.
"Peguam (Pathu) bertemu dengannya pada 20 Mei tahun lalu," kata Salim mengenai keterangan Pathu, sambil menambah bahawa peguam dari Indonesia itu turut menyatakan bahawa wanita tersebut kemudian mengesahkan akuan berkanun tersebut.
Salim menjelaskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Ipoh akan memberi taklimat kepada Mahkamah Persekutuan mengenai keterangan ini pada 7 Mac, iaitu 10 hari sebelum mahkamah tertinggi negara mendengar rayuan Yong untuk membatalkan sabitan bersalah dan hukuman penjaranya.
Pada 12 November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Yong untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan tersebut.
Panel tiga hakim yang diketuai Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan lima dokumen diterima sebagai bukti tambahan, menyifatkan ia sebagai penting kerana ia menggambarkan mangsa mungkin memberikan keterangan palsu semasa perbicaraan.
Pada 1 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan berbelah-bahagi, menolak rayuan Yong dan mengekalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di dalam bilik di rumahnya di Ipoh antara 8.15 malam dan 9.15 m pada 7 Julai 2019.
Bagaimanapun, panel tiga hakim mahkamah rayuan mengurangkan hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun, dengan dua sebatan.
Yong kemudiannya merayu keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu keputusan rayuan. Yong kemudiannya dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
