Suaram bangkitkan isu 32 tahanan dinafi ikat jamin pada Suhakam
Kumpulan hak asasi manusia Suaram hari ini mengadakan pertemuan dengan Suhakam berhubung nasib 32 orang yang didakwa anggota kumpulan jenayah yang telah dinafikan ikat jamin sejak tahun lepas.
Diadakan di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur, kumpulan itu membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan pihak berkuasa melakukan penganiayaan terhadap suspek, yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sementara menunggu perbicaraan.
Menurut pengurus program Suaram Azura Nasron, pihak berkuasa terus menolak permohonan tahanan untuk jaminan walaupun sebahagian daripada mereka sudah berusia 50-an dan mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan perubatan.
Dia juga mendakwa bahawa tahanan telah dipukul oleh penyiasat semasa disoal siasat.
“Kira-kira enam daripada tahanan itu dalam keadaan tidak sihat, termasuk seorang pesakit jantung berusia 50-an. Terdapat juga seorang tahanan yang perlu menggunakan kerusi roda.
“Setakat ini, isu yang mereka hadapi di Penjara Sungai Buloh ialah keadaan kesihatan mereka. Pihak penjara telah berjanji untuk membawa sebahagian daripada mereka untuk rawatan (di hospital) tetapi ini tidak berlaku.
“Mereka dinafikan ikat jamin (walaupun mempunyai masalah kesihatan), tetapi pada masa sama, pihak penjara tidak banyak membantu tahanan.
“Kami berharap Suhakam boleh, selain melawat Penjara Sungai Buloh tempat tahanan ditahan, mendesak ahli Parlimen untuk membangkitkan isu ini,” kata Azura sambil menambah Suaram mewakili keluarga kesemua 32 tahanan dalam aduan kepada Suhakam.
Menurut surat aduan Suaram, 32 suspek itu telah ditahan polis antara Mei dan September tahun lepas kerana disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang bernama Geng TR.
Kesemuanya kemudian didakwa mengikut Seksyen 130V(I) Kanun Keseksaan dan Sosma. Mereka tidak ditawarkan jaminan kerana Seksyen 13 Sosma menyatakan bahawa jaminan tidak akan diberikan kepada mereka yang didakwa mengikut undang-undang itu.
Selain isu kesihatan, Suaram turut menyuarakan harapan agar Suhakam dapat membantu membangkitkan isu itu bagi memastikan perbicaraan terhadap tahanan disegerakan.
Ini berlaku apabila kumpulan itu mengetahui bahawa perbicaraan mereka didakwa akan bermula pada 2028.
Seorang ahli keluarga, M Logesvaran, 49, mengkritik keputusan pihak berkuasa untuk menggunakan Sosma, dengan mengatakan bahawa ia bukan sahaja memberi kesan kepada tahanan tetapi juga ahli keluarga mereka.
“Jika polis benar-benar mempunyai bukti yang cukup, dakwa sahaja mereka di mahkamah dan benarkan mereka diikat jamin. Itu sahaja yang kami minta.
“Seperti dalam kes abang saya, dia seorang pesakit jantung. Namun begitu, dia tidak dibenarkan diikat jamin. Dan lebih teruk, perbicaraan semakin berlarutan, setiap kali ada tarikh baru untuk pengurusan kes.
“Baru-baru ini, kes itu ditangguhkan hanya kerana seorang daripada 32 suspek tidak mempunyai peguam untuk mewakilinya. Kami sangat kecewa dengan perkara ini,” katanya.
Susulan pertemuan itu, pegawai Suhakam termasuk pesuruhjaya Mariati Robert berjanji untuk menyiasat perkara itu dan memeriksa keadaan tahanan di Penjara Sungai Buloh.
“Buat masa ini, kami telah meminta Suaram memberikan butiran lanjut mengenai 32 tahanan itu, termasuk nama mereka dan apa masalah kesihatan yang mereka hadapi.
"Kami akan meneliti hak asasi mereka, terutamanya aduan mengenai rawatan kesihatan, dan juga mengenai isu berkaitan tempoh perbicaraan mereka," kata Mariati kepada pemberita.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/03/165700d238c148e889dd839fef70725b.jpg)
