Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Na'im menteri agama sangat gagal, kata Abu Hafiz
Diterbitkan:  Feb 6, 2025 10:14 PM
Dikemaskini: 3:04 PM

Seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa mengkritik Menteri Hal Ehwal Agama, Na’im Mokhtar, berhubung pelbagai kontroversi, termasuk isu logo halal dan cadangan garis panduan acara antara agama, dengan menyifatkan dia gagal sepenuhnya.

"Serahkan Timbalan Menteri Agama (Zulkifli Hasan) uruskan. Rehatkan menteri agama atau rehatkan selamanya pun lagi baik. Beban sangat dah dia tu," katanya pada siri ciapan di X.

“Ini bukan kali pertama, menteri agama buat masalah dan lajak dari laju. Isu logo halal dulu yang tengah masih dibincangkan pun dia umum sebelum dimuktamadkan.

"Jawapan parlimen menteri ini dilaporkan sebagai ‘disyaratkan’ dan kini, dia kata masih berbincang. Menteri agama ni sangat gagal," katanya lagi.

Menteri Hal Ehwal Agama, Na’im Mokhtar.

Abu Hafiz turut membangkitkan penyokong kerajaan Madani selama ini cukup menentang idea ekstrem daripada pemimpin PAS.

"Tapi, selama mana PAS jadi menteri agama, mereka tidaklah sejumud dan ekstrem macam menteri agama yang ada di Putrajaya sekarang ini.

"Sangat berbeza dengan faham kenegaraan perdana menteri," katanya.

Menurut laman web IIUM, Abu Hafiz ialah penolong profesor di universiti itu dan mempunyai kepakaran dalam kajian al-Quran dan ilmu Hadis, serta sistem politik Islam.

Ini bukan kali pertama Abu Hafiz (gambar atas) mengkritik keras Na'im.

Pada Oktober tahun lalu, Abu Hafiz menggesa Na'im digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat ditangani dengan lebih baik.

Garis panduan masih dalam kajian

Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Selasa, Na’im berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan garis panduan baru, termasuk keperluan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa agama jika sesuatu majlis melibatkan umat Islam, serta larangan unsur yang boleh menyinggung sensitiviti Muslim.

Namun, selepas mendapat kecaman pelbagai pihak, Na’im berkata garis panduan itu masih dalam kajian.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan kabinet akan membincangkan isu ini esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS