Usaha berterusan Malaysia untuk mendapatkan semula aset yang dikaitkan dengan skandal 1MDB akan diteruskan walaupun unit antirasuah elit Jabatan Kehakiman AS (DOJ) yang terlibat dalam kes itu ditutup baru-baru ini.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan ulasan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menyatakan harapan agar keputusan Presiden AS Donald Trump menutup unit berkenaan tidak akan memberi kesan kepada sebarang kerjasama yang berterusan.

“Saya berharap keputusan itu tidak akan menjejaskan usaha kita untuk mendapatkan semula aset yang dicuri dari Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

“Pihak berkuasa di AS telah banyak membantu sejak siasatan ke atas 1MDB bermula,” kata Azam kepada Malaysiakini.

“Pegawai dari kedua-dua negara terus memberikan maklumat terkini, khususnya mengenai perkembangan pemulihan aset dan perkara lain berkaitan siasatan,” katanya.

Awal minggu ini, wartawan penyiasat Bradley Hope - pengarang bersama 'Billion Dollar Whale' mengenai skandal 1MDB AS$4.5 bilion - mendedahkan bahawa DOJ AS telah menutup unit elit antirasuah berkenaan.

Hope berkata keputusan untuk menutup unit yang terkenal kerana mendakwa skandal 1MDB itu diumumkan secara senyap-senyap oleh Peguam Negara AS yang baru, Pam Bondi melalui e-mel pada 5 Feb.

Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan berhubung perkara yang sedang berjalan.

"Kami terus bekerjasama dengan pihak berkuasa, dan saya akan bertanya dengan Kementerian Luar Negeri untuk menentukan sama ada mereka telah memulakan sebarang permintaan kepada Kedutaan AS berhubung perkara ini," tambahnya.

Selain membongkar skandal 1MDB yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, unit DOJ itu juga telah menyiasat kekayaan bekas diktator Nigeria Sani Abacha.