Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Razman saran Rafizi buat video isu aliran keluar bersih dana asing
Diterbitkan:  Feb 10, 2025 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menggesa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk mengeluarkan video khas menjelaskan aliran keluar bersih dana asing dari Malaysia.

Menerusi Facebook, Razman secara sinis mengucapkan terima kasih kepada ahli parlimen Pandan itu kerana menyiarkan video mengenainya di media sosial semalam.

“Terima kasih Rafizi kerana sudi buat video khas untuk Pakteh (Razman).

“Alang-alang tu minta juga buat video khas tentang jumlah dana asing bersih sebanyak RM3.7 billion yang dijual oleh pelabur asing,” katanya.

Awal hari ini, bekas timbalan pengarah strategik BN Eric See-To mendakwa dalam catatan Facebook bahawa RM3.7 bilion telah mengalir keluar dari Malaysia setakat ini bagi 2025, berbanding RM4.2 bilion pada 2024 dan RM2.4 bilion pada 2023.

Menurut laporan Bernama, MIDF Amanah Investment Bank Berhad (MIDF) mendedahkan pelabur asing telah menjual ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu ke-16 berturut-turut.

Dalam video yang disiarkan semalam, Rafizi mencadangkan bahawa pemimpin PAS yang memfitnah ahli parlimen DAP mempunyai pertalian keluarga dengan orang yang tidak berkaitan dengan mereka mungkin hanya menyebarkan kebencian.

Baru-baru ini, Razman mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh adalah anak kepada pengasas syarikat YTL Yeoh Tiong Lay. Walaupun dia telah memohon maaf atas kesilapan itu, menteri itu kini mengancam untuk menyamannya.

Mengulas lanjut mengenai siarannya, Razman mempersoalkan mengapa Hannah mahu menyamannya atas dakwaan sebarkan Kristianisasi dan bukannya kerana kesilapan mengaitkannya dengan pengasas syarikat YTL.

“Hannah Yeoh bukan saman Pakteh sebab isu tersalah binti, tapi sebab kaitkan dia dengan dakyah Kristianisasi, agak-agak, kenapa?" katanya.

Ini bukan kali pertama ADUN Gunung Semanggol itu membuat dakwaan kontroversi mengenai pemimpin DAP.

Tahun lalu, dia memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kerana secara palsu mengaitkan Ahli Parlimen Teluk Intan itu dengan perarakan di mana warga China mengibarkan bendera negara mereka.

Pada 2023, dia diperintahkan membayar ganti rugi kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan bekas menteri besar Perak Nizar Jamaluddin selepas kalah dalam saman fitnah pada 2017.

Semasa ucapan kempen pada 2023, seorang lagi pemimpin PAS, Siti Mastura Muhammad, mendakwa Guan Eng dan bapanya, Kit Siang, mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaysia Chin Peng dan ahli parlimen Seputeh Teresa Kok mempunyai kaitan dengan Guan Eng.

Kit Siang, Guan Eng, dan Kok menyamannya kerana memfitnah. Siti Mastura sedang merayu keputusan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS