Berbusana maharaja China bersempena sambutan Tahun Baru Cina, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang, Nizar Najib, menyeru rakyat agar menolak elemen yang boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat.
"Semoga negeri Pahang terus hormani serta dijauhkan daripada anasir-anasir jahat yang boleh memecahbelahkan masyarakat yang pelbagai bangsa dan kaum di sini.
"Selamat Menyambut Tahun Baru Cina" kata anak kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak pada hantaran di media sosial.
Nizar turut berkongsi gambar dirinya berpakaian seperti maharaja Dinasti Qing semasa majlis penutupan Festival Tahun Baru Cina 2025, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri oleh beberapa ahli exco Pahang, termasuk wakil PKR, Sim Chon Siang, dan wakil DAP, Leong Yu Man, serta isteri Nizar, yang turut mengenakan pakaian tradisional Cina.
Majlis itu anjuran Persatuan Seni Opera Cina Kuantan, dengan mereka turut mengambil bahagian dalam aktiviti sambutan seperti "lou sang", menulis kaligrafi Cina, serta menikmati persembahan tarian singa.
Pada hantarannya, Nizar berkata dia hadir ke majlis itu bagi mewakili Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Semalam menandakan hari ke-12 dalam kalendar Tahun Baru Cina, yang merupakan Tahun Ular. Secara tradisional, komuniti Cina menyambut perayaan ini sehingga hari ke-15, yang dikenali sebagai Chap Goh Mei.

Pada Rabu lalu, perdebatan hangat tercetus berhubung cadangan kerajaan untuk memperkenalkan garis panduan baharu mengenai penglibatan orang Islam dalam acara di rumah ibadat bukan Islam.
Di tengah kontroversi itu, Presiden MCA Wee Ka Siong, menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina sebagai contoh, dengan menegaskan masyarakat Cina mengundang umat Islam ke perayaan mereka, tetapi tidak meminta mereka untuk turut serta dalam ritual keagamaan.
Selepas menerima bantahan umum, Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudiannya mengumumkan kabinet memutuskan garis panduan tersebut tidak diperlukan.
