Istilah ‘abang long’ bukan dituju pada Umno saja, kata AMK Johor
Pemimpin pemuda PKR Johor menjelaskan perselisihan antara pihaknya dan Pemuda Umno Johor berpunca daripada salah faham merujuk kepada istilah ‘abang long’.
Naib Ketua AMK Johor Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, kenyataannya pada dua hari lepas menggunakan istilah ‘abang long’ adalah bersifat umum dan tidak ditujukan kepada Umno semata-mata.
“Saya sangka pemimpin-pemimpin Umno di Johor cerdik pandai, patut baca kenyataan penuh saya sebelum melenting tak tentu pasal. Rata-rata semuanya respons disebabkan baca tajuk (laporan) semata-mata.
“Khususnya merujuk kepada perkataan ‘abang long’, walhal kenyataan saya bersifat umum.
“Merujuk kepada semua parti baik Umno-BN atau PKR, DAP dan Amanah supaya tidak menjadi ‘abang long’ sekiranya ingin bekerjasama dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu portal MalaysiaGazzete melaporkan kenyataan Faezuddin pada Ahad lalu dengan tajuk ‘Umno Johor jangan jadi abang long - AMK’.
Kenyataannya itu sebagai mengulas pendapat Ketua Pemuda Umno Johor, Azleen Ambros, yang mengulas mengenai potensi boleh dicapai oleh BN-PH di kerusi-kerusi tier 2 (kerusi disandang pembangkang) pada pilihan raya akan datang.
Laporan itu kemudiannya dibalas dengan kenyataan Setiausaha Pemuda Umno Johor, Hafiz Ariffin, yang membidas Faezuddin.
Ia disusuli dengan kenyataan Ketua Umno Bahagian Sri Gading Mohd Lassin Burhan yang menyifatkan AMK dan pemuda Amanah sebagai gelojoh.
Faezuddin berkata, kenyataannya tidaklah datang tiba-tiba, sebaliknya merupakan respons kepada cadangan Azleen.
“Namun, sebelum bersama dalam pilihan raya negeri, kita semua perlu tunjuk keikhlasan. Itu mustahak.
“Bagaimanapun, kita tunggu dan sentiasa patuh kepada keputusan pimpinan parti di peringkat pusat sama ada bertarung atau bersama dalam gelanggang pilihan raya,” katanya.
Malaysiakini sedang mendapatkan respons dan penjelasan lanjut daripada Azleen.
/file/1259/1d956541ce2b84e1f824e5075049260e.jpeg)
