Syarikat tiada pengalaman mendapat kelulusan sebagai Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) susulan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), kata menteri pengangkutan.

Malah, kata Anthony Loke, Puspakom juga ketika ditubuhkan pada 1994–lebih 30 tahun lalu–juga tidak ada pengalaman.

“Sebelum ini pasaran ini tidak dibuka, ia dimonopoli oleh sebuah syarikat yang diberi konsesi oleh kerajaan. 

“Sekarang, kita buka industri ini kepada lebih banyak persaingan supaya lebih banyak syarikat boleh terlibat dalam industri pemeriksaan kenderaan,” dia dipetik oleh Bernama sebagai berkata dalam acara di Shah Alam hari ini.

Tiga syarikat dilantik untuk PPKM fasa pertama iaitu Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum dan Beriman Gold Sdn Bhd.

Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat mendapati Pakatan Petroleum dan Beriman Gold terlibat dalam perniagaan yang tidak berkaitan dengan automotif.

Pakatan Petroleum pula terlibat dalam perdagangan petroleum dan gas manakala Beriman Gold terlibat dalam pembinaan, telekomunikasi dan multimedia, serta keselamatan dan sistem teknologi maklumat.

Wawasan Bintang pula menyenaraikan pemeriksaan kenderaan bermotor sebagai perniagaannya tetapi dikatakan baru lapan bulan beroperasi dan tidak mempunyai rekod prestasi awam.

Loke hari ini tidak mengulas berkaitan kritikan di atas.

Belum dapat lesen, tak bayar satu sen pun

Sementara itu, Loke juga berkata syarikat-syarikat itu baru mendapat kelulusan bersyarat dan belum mendapat lesen.

Katanya, mereka diberikan tempoh dua tahun untuk melengkapkan keperluan infrastruktur.

Dia juga berkata tiada sebarang kontrak diberikan dan tidak ia tidak melibatkan sebarang pembayaran daripada kerajaan.

“Kita tidak bayar satu sen kepada syarikat ini. 

“Semua ini memerlukan pelaburan daripada mereka untuk beli tanah, mesin, bina bengkel dan sebagainya, selain tidak ada unsur implikasi kewangan kepada kerajaan,” katanya.