Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya terkejut anda percaya pemanduan saya, kata PM pada Erdogan
Diterbitkan:  Feb 12, 2025 2:53 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini berkongsi video pengalaman membawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bersiar-siar menaiki kereta elektrik buatan negara itu.

Togg T10X putih itu merupakan hadiah Erdogan kepada Anwar sebagai simbol persahabatan akrab mereka dan diserahkan sempena lawatan rasmi dua hari pemimpin terbabit ke Kuala Lumpur.

“Saya terkejut anda mempercayai pemanduan saya,” seloroh Anwar.

Ia mengundang pertanyaan Erdogan: “Kenapa?”

“Kerana saya jarang memandu… dan kita sekarang memandu di sebelah kiri,” jawab Anwar sambil ketawa.

Untuk rekod kereta elektrik tersebut merupakan kenderaan yang dipandu di sebelah kiri sesuai dengan sistem jalan raya di Turkiye, manakala kenderaan di Malaysia adalah sebaliknya.

Seorang pegawai Turkiye di tempat duduk belakang kemudian secara bergurau berkata, mungkin adalah bijak bagi mereka untuk segera turun dari kenderaan berkenaan.

Anwar juga mendedahkan bahawa isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, juga telah bertanya jika dia benar-benar perlu memandu.

“Kerana dia tidak mempercayai saya (memandu)... Tetapi saya memandu (di bahagian kiri) ketika saya mengajar di Georgetown (Universiti) di Washington. Tetapi saya jarang memandu,” tambahnya.

Anwar sebelum ini pernah menjadi profesor pengajan Islam di Georgetown University, AS.

Di situ dia memberikan syarahan tentang politik kontemporari Asia Tenggara dengan memfokuskan peranan Islam dalam membentuk evolusi politik rantau ini.

Dalam rakaman video tersebut, Erdogan juga sempat bertanya Anwar mengenai kualiti penebat bunyi kenderaan itu, dengan berkata: "Saudaraku, kamu tidak mendengar apa-apa, kan?"

Perdana menteri yang kagum itu bersetuju.

“Ya. Ia sangat senyap,” jawab Anwar.

Dia juga menyifatkan hiasan dalaman bahagian "depan" kenderaan itu sebagai "hebat".

Anwar memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) itu ke Kompleks Seri Perdana, dengan Erdogan menemaninya untuk menghadiri pertukaran perjanjian, sidang akhbar bersama dan jamuan makan tengah hari.

Togg merupakan kenderaan elektrik nasional pertama Türkiye dan ditubuhkan pada 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS