Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan Kelantan sedia ambil alih pembinaan KB Sentral
Diterbitkan:  Feb 13, 2025 11:24 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Kelantan sedia mengambil alih pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) sekiranya rundingan kerajaan negeri dengan syarikat Perak Transit Bhd (Perak Transit) gagal mencapai kata putus.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan negeri berdepan kesuntukan masa untuk memastikan KB Sentral dapat beroperasi seperti dijadualkan pada 2027.

“Kita (kerajaan negeri) telah meminta syarikat berkenaan memberikan keputusan sama ada ingin meneruskan projek ini tanpa sebarang rundingan lanjut atau menyerahkannya kembali kepada kerajaan negeri.

“Surat telah dihantar untuk mendapatkan jawapan, dan kita telah menetapkan tempoh tertentu untuk projek ini disiapkan.

"Jika Perak Transit masih cuba berbincang mengenai syarat tambahan, kita akan berikan satu tarikh akhir dan jika tiada keputusan konkrit, kerajaan negeri sendiri akan mengambil alih pembinaan ini,” katanya.

Mohamed Fadzli berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas perkembangan projek KB Sentral dalam sesi dialog sempena Majlis Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Media di Kota Bharu malam tadi.

Katanya kerajaan negeri masih bertolak ansur namun projek itu perlu disiapkan segera.

Dia berkata keputusan berkenaan bukan untuk meremehkan keupayaan Perak Transit yang sebelum ini berjaya melaksanakan banyak projek lain.

“KB Sentral mempunyai banyak komponen (termasuk) stesen bas, kompleks beli-belah, kediaman dan sebagainya.

“Tetapi fokus utama kita adalah stesen bas terlebih dahulu manakala komponen lain boleh menyusul kemudian,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS