Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata, beliau sudah kalah dalam pertaruhan dengan rakannya mengenai perkembangan isu dakwaan skandal rasuah melibatkan ahli politik di Sabah.
Kata Darell dia sebenarnya sudah kecewa terhadap sikap pihak berkuasa yang menguruskan dakwaan berkenaan kerana tiada tindakan meyakinkan diambil.
Bekas ahli parlimen Penampang itu memberitahu, ramai orang cuba meyakinkannya bahawa tiada sesiapa pun akan didakwa ekoran pembongkaran dibuat ahli perniagaan terhadap beberapa wakil rakyat Sabah baru-baru ini.
"Tetapi saya tak percaya orang ini (yang didakwa terlibat rasuah) akan terlepas dengan mudah dan ada sedikit harapan bahawa akhirnya undang-undang akan mendakwa pihak yang terlibat dalam video itu.
"Kemudian kita boleh mendengar keseluruhan episod itu dalam perbicaraan," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Derell berkata demikian sebagai mengulas penegasan semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kekurangan bukti untuk tindakan lanjut isu dakwaan rasuah Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dipetik sebagai berkata siasatan masih dijalankan dan lima individu - termasuk seorang ahli politik Sabah - sudah diambil keterangannya.
Pun begitu, Azam berkata, rakaman video seperti yang didedahkan melalui Malaysiakini baru-baru ini sudah diserahkan kepada bahagian foreksi agensi antirasuah tersebut dan tidak boleh digunakan sebagai bukti.
Berhutang belanja makan mi
Hal itu kerana, jelas Azam, video tersebut sudah disunting dan tidak boleh digunakan sama ada untuk siasatan atau bahan bukti di mahkamah.
Derell berkata selepas Malaysiakini menyiarkan laporan berkenaan pembocor maklumat serta video yang diberikannya, ada seseorang memberitahu bahawa tiada tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa.
Memetik kata-kata rakannya itu, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, mereka percaya individu terbabit akan terlepas kerana pihak berkenaan "pandai atur, bah".
"Kepada salah seorang rakan saya yang memberitahu (tidak lama selepas video-video itu dikeluarkan Malaysiakini): tiada ni bah bro, dorang (mereka) tidak akan didakwa biar pun banyak video dikeluarkan sebab dorang ni pandai atur bah.
"Saya mengaku yang kamu sudah menang pertaruhan dan saya berhutang kamu mi kon lau (hidangan mi masyarakat Cina yang popular) dan juga ngiu chap (mi sup daging yang terkenal di Kota Kinabalu)," katanya lagi.
Dia yang juga Adun Moyog itu turut mengiringi hantaran tersebut dengan tanda pagar #KoruptorSavedSudah? (koruptor sudah selamat), #LandOfTheFreeToSteal (tanah bebas untuk mencuri), #NoMoreJusticeForSabah (tiada lagi keadilan untuk Sabah), dan #TheyAreLaughingHoiHoiYaHoi (mereka sedang ketawa hoi hoi ya hoi).
