Tiada keperluan wujudkan akta antidiskriminisi kaum - menteri perpaduan
PARLIMEN | Tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan akta antidiskriminisi kaum kerana peruntukan undang-undang yang ada ketika ini telah memadai.
Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang berkata demikian sambil menegaskan kepentingan penguatkuasaan yang adil bagi memastikan hubungan antara etnik di negara ini tidak diganggu gugat.
Katanya, negara telah mempunyai Akta Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi menyiasat sebarang ancaman yang boleh menggugat perkauman.
"Penguatkuasaan yang telus dan adil, tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan kelas sosial adalah amat penting untuk memastikan keharmonian terus terpelihara.
"Justeru kementerian ini berpandangan tiada keperluan untuk menggubal akta baru," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Aaron berkata demikian sebagai menjawab soalan dibangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan).
Lim meminta menteri perpaduan menyatakan sama ada suatu akta antidiskriminasi kaum akan digubal untuk membendung kejadian perkauman yang disifatkan kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan individu.
Ini di tengah-tengah kontroversi terbaru membabitkan seorang penjual jagung di Kota Warisan, Sepang, yang menggunakan papan tanda perkauman.
Mengulas insiden itu, Aaron berkata ia telah diselesaikan secara harmoni.
Katanya, jabatan perpaduan melalui pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan wakil kaum India telah mengadakan pertemuan dengan peniaga berkenaan yang telah pun memohon maaf.
"Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara.
"Saya ingin menegaskan bahawa kita semua harus sentiasa berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan kita tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan, atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya, dan kaum yang berbeza," katanya.
Bagaimanapun kata Aaron, kementeriannya menyokong jika keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sebarang ancaman yang boleh menggugat keharmonian kaum.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/03/c1e96ce3ed27bf22f601e2eb4466ab47.jpg)
