Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiga ekor orang putih': Hadi ponteng kelas bahasa Melayu ke, soal DAP
Diterbitkan:  Feb 19, 2025 9:56 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, mengkritik penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di parlimen semalam, sekali gus mempersoalkan kesungguhannya dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Lim berkata usaha mengangkat martabat bahasa Melayu tidak akan berjaya sekiranya Abdul Hadi sendiri gagal menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul.

Lim Lip Eng

Dia merujuk kenyataan Abdul Hadi di parlimen semalam apabila Presiden PAS itu mendakwa bahasa Inggeris masih menjadi keutamaan dalam majlis-majlis rasmi walaupun hanya terdapat “tiga ekor orang putih” yang hadir.

"Sejak bila manusia dikira menggunakan ekor? Ini adalah asas bahasa Melayu yang diajar di tadika - orang untuk manusia, ekor untuk haiwan.

"Adakah Hadi Awang ponteng kelas tatabahasa semasa kecil, atau dia sengaja menggunakan istilah itu untuk menghina orang lain?" soal Lim.

Lim berkata jika ungkapan tersebut merupakan kesilapan, ia sesuatu yang memalukan bagi seseorang yang mendakwa memperjuangkan bahasa Melayu.

Namun, katanya, jika perkara itu disengajakan ia bukan sahaja mencerminkan kejahilan Abdul Hadi tetapi juga keangkuhan dan sikap perkauman yang tidak wajar ditunjukkannya dalam perbahasan parlimen.

"Adakah PAS menyokong kenyataan presiden mereka? Adakah ini tahap bahasa dan adab yang mereka ajar kepada penyokong mereka?" soal Lim lagi.

Dia turut menegaskan bahawa sebagai ketua sebuah parti politik utama, Abdul Hadi sepatutnya menjadi contoh yang baik dan bukan menggunakan parlimen sebagai platform untuk mencetuskan provokasi perkauman.

"Jika beliau benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan bahasa Melayu, beliau harus bermula dengan menggunakannya secara betul dan penuh hormat," tambahnya.

Abdul Hadi Awang

Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Marang itu menyatakan rasa kecewanya apabila bahasa Melayu masih lagi terpinggir di negara ini, manakala bahasa asing masih menjadi keutamaan termasuk dalam urusan kerajaan.

Abdul Hadi berkata bahasa Inggeris masih digunakan dalam majlis-majlis rasmi walaupun hanya terdapat “tiga ekor orang putih” hadir pada majlis berkenaan.

"Apa berlaku hari ini bercelaru, kedai di bandar, ibu negara semua bahasa ada, (penggunaan) bahasa Melayu kadang-kadang halus (kecil) sahaja, bahasa Inggeris besar (walaupun orang) Inggeris dah tak ada.

"Dalam majlis orang putih ada tiga ekor sahaja, yang orang kita ni ramai semua boleh berbahasa Melayu, (tapi) cakap (guna bahasa) Inggeris juga, surat rasmi, bicara di mahkamah masih lagi bahasa Inggeris," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS