Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Makam raja purba Mesir yang hilang ditemukan
Diterbitkan:  Feb 19, 2025 4:26 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Ahli arkeologi menemukan sebuah makam purba di Mesir, penemuan pertama seumpamanya sejak makam Firaun Tutankhamun ditemukan pada 1922, lapor agensi berita Jerman (dpa). 

Pada Selasa, pihak berkuasa Mesir mengumumkan penemuan makam Raja Thutmose II, satu-satunya makam diraja Dinasti Ke-18 Mesir yang sebelum ini masih belum ditemui.

Dinasti itu memerintah selama lebih dua abad antara 1550 SM dan 1292 SM.

Setiausaha Agung Egyptian Supreme Council of Antiquities Mohamed Ismail Khaled menyifatkan ia sebagai antara penemuan terpenting sejak beberapa dekad. 

"Ini adalah kali pertama barangan pengebumian milik Thutmose II ditemukan, kerana tiada artifak seumpamanya wujud di mana-mana muzium di dunia," katanya. 

Ketua misi Mesir, Mohamed Abdel Badei berkata walaupun penemuan itu amat berharga, makam berkenaan dijumpai dalam keadaan daif kerana dilanda banjir tidak lama selepas kemangkatan raja berkenaan. 

"Kerja-kerja pemuliharaan mendapati terdapat kerosakan yang teruk akibat air, menyebabkan banyak artifak asal hilang, yang dipercayai telah dipindahkan sejak zaman purba," katanya. 

Bagaimanapun, pasukan arkeologi berjaya memulihkan sebahagian plaster dinding yang runtuh, yang dihiasi reka bentuk rumit termasuk inskripsi berwarna biru, motif bintang kuning dan elemen teks keagamaan penting yang digunakan dalam makam diraja. 

Ketua misi British, Piers Litherland berkata reka bentuk makam itu memiliki corak tipikal, namun terdapat keunikan pada koridor keduanya. 

“Koridor ini telah diperbesar sebanyak dua kali dan cenderung ke atas, bukannya ke bawah seperti kebiasaan, melebihi paras lantai ruang utama," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa koridor itu dipercayai dibina sedemikian rupa bagi memudahkan jasad raja dikeluarkan dari makamnya yang dilanda banjir.

- Bernama-dpa 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS