Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terengganu bakal miliki industri bina pesawat ringan
Diterbitkan:  Feb 19, 2025 4:34 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Industri pembinaan pesawat ringan bakal bertapak di Terengganu apabila memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkara itu dijangka dimeterai dalam masa terdekat.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketika ini perkara tersebut masih dalam perbincangan dengan syarikat Putra Aerospace Industries (PAI) dan kerajaan negeri telah memberikan persetujuan awal untuk meneliti lanjut projek berkenaan.

“Ia dahulunya pernah dicadangkan di tempat lain iaitu sebelum Covid-19 melanda. Tapi, sebab masalah-masalah yang timbul saya cadangkan untuk dibina di Terengganu.

“Perbincangan telah dibuat kira-kira empat kali, cuma tunggu kebenaran kerajaan negeri untuk penggunaan tanah … dan kita seperti sebelum ini tiada halangan, tidak perlu buat syarat tukar tanah dan sebagainya.

"Jadi, itu akan mempercepat prosesnya,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

Turut berkenan berangkat hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

Terdahulu, menerusi perkongsian di Facebook, Ahmad Samsuri menerima kunjungan delegasi PAI yang menyuarakan hasrat membina pesawat ringan di negeri itu membabitkan tiga fasa di kawasan seluas lebih 20 hektar di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.

Dia berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mempunyai ekuiti dalam projek itu bagi membolehkan penglibatan bersama kerajaan negeri.

“… dan institusi pendidikan seperti Kolej Universiti Tati dan Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) boleh memainkan peranan mereka untuk melatih anak-anak tempatan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS