GLOBAL | Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz al-Saud, hari ini meluluskan simbol riyal Arab Saudi yang menyaksikan keputusan bersejarah kerajaan dan akan mengukuhkan identiti mata wang negara tersebut.
Gabenor Bank Pusat Saudi (SAMA), Ayman M al-Sayari, memberikan penghargaan yang tinggi kepada Raja Salman dan Putera Mahkota merangkap dan Perdana Menteri, Putera Mohammed Salman, kerana melancarkan simbol tersebut.
Al-Sayari menyatakan keputusan berkenaan mengukuhkan identiti kewangan Arab Saudi, sama ada di dalam negara, serantau, dan di peringkat antarabangsa.
Dia juga membayangkan bahawa pelaksanaan simbol baru berkenaan akan berlaku secara perlahan-lahan untuk transaksi kewangan dan komersial, melalui penyelarasan merentasi semua entiti berkaitan.
Al-Sayari berkata tujuan inisiatif tersebut adalah untuk mempromosikan identiti nasional dan budaya, menonjolkan peranan mata wang nasional, dan mengetengahkan Arab Saudi sebagai antara ekonomi utama dan ahli G20.
Selain itu, katanya, inisiatif berkenaan melambangkan peranan mata wang nasional yang semakin penting dalam ekosistem kewangan global.
Dia turut memperakui usaha kolaboratif menyumbang kepada mempermudahkan pencapaian berkenaan, dan menyatakan penghargaan kepada semua entiti terlibat yang turut menjayakan projek diterajui oleh SAMA.
Antaranya ialah Kementerian Budaya; Kementerian Media; dan Organisasi Standard, Metrologi dan Kualiti Saudi.
Simbol riyal Saudi - yang dibangunkan sehingga mencapai piawaian teknikal tertinggi - melambangkan warisan budaya negara yang kaya, membawa nama mata wang nasional dalam reka bentuk berunsur kaligrafi Arab.
Simbol itu akan memperkemaskan perwakilan riyal Saudi dalam konteks tempatan, serantau, dan antarabangsa, menjadikannya sesuai untuk penggunaan apabila merujuk kepada riyal Saudi dalam semua transaksi kewangan dan komersial.
Dalam usaha Arab Saudi memajukan Visi 2030, pelancaran simbol berkenaan meneguhkan kepentingan sistem kewangan negara dan peranannya yang semakin meningkat di peringkat serantau dan antarabangsa.
- Bernama
