Selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-16, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan terima kasih atas doa rakyat Malaysia.
"Alhamdulillah syukur di atas keputusan perbicaraan di Mahkamah Shah Alam hari ini.
"Terima kasih atas doa rakyat Malaysia juga kepada keluarga, pimpinan, rakan-rakan dan barisan peguam," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Muhammad Sanusi daripada tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Hakim, Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Masri Daud memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara sudah menerima representasi Sanusi.
Pada 18 Julai 2023, Adun Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Al-Sultan Abdullah dalam ceramah di Gombak dengan menyentuh pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Pada 10 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi sama melepas dan membebaskan Sanusi daripada satu pertuduhan menghasut berkait dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Aslam ketika itu memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap Sanusi dan menarik balik pertuduhan dihadapi Muhammad Sanusi itu.
