Gerakan menyerang kepimpinan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu susulan kenaikan harga santan menjelang Ramadan, Sabtu atau Ahad ini.
Presidennya Dominic Lau berkata dia hairan kenapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih berpuas hati dengan prestasi menteri itu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
“Perdana menteri harus menetap KPI (indeks prestasi utama) kepada para menteri untuk memastikan mereka melaksanakan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.

Sejak kira-kira seminggu lalu, pelbagai media melaporkan isu kenaikan harga santan di pelbagai tempat sehingga mencecah RM20 untuk sekilogram santan pekat.
Terbaru semalam, Berita Harian melaporkan harga santan segar di Terengganu naik daripada RM9 sekilogram kepada RM19 sekilogram.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Lau juga mengecam Mohamad sebagai gagal menjalankan tugas dan membiarkan harga santan pekat di beberapa kawasan menjadi bahan “makanan mewah”.
"Tiada isu kecil dalam kepentingan rakyat,” katanya.
“Tanggungjawab parti pembangkang adalah menyuarakan isu rakyat, manakala kerajaan perlu mencari punca dan menyelesaikan masalah tersebut.”
