PARLIMEN l Pada Mac 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen), Azalina Othman Said, mengeluarkan larangan menyeluruh terhadap sebarang soalan berkaitan skandal derma RM2.6 bilion yang melibatkan Najib Razak, dengan alasan peraturan sub judis.

Kini, hampir sembilan tahun kemudian, Azalina, yang kini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), menggunakan peraturan yang sama untuk mengelak daripada menjawab soalan berkaitan titah adendum mengenai tahanan rumah untuk Najib.

Azalina Othman Said

Azalina mengemukakan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 23(1)(g) dalam jawapan bertulis semalam sebagai respons terhadap soalan Hamzah Zainudin (PN-Larut).

Ketua pembangkang itu menyoal jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim dimaklumkan oleh peguam negara tentang titah adendum Yang di-Pertuan Agong, ketika atau selepas ia diterima dari Istana Negara.

“Oleh kerana perkara ini masih dalam pertimbangan mahkamah, ia tidak boleh dibincangkan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)(g),” kata Azalina.

Titah adendum tersebut merupakan satu perintah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes kesalahan rasuah membabitkan dana SRC International dengan menjalani tahanan rumah.

Kerajaan, termasuk Anwar, menyatakan bahawa perkara ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah  pada hari terakhir Seri Paduka sebagai Agong – mesyuarat yang mengurangkan hukuman penjara Najib dari 12 tahun kepada enam tahun.

Terdapat spekulasi bahawa Seri Paduka mengeluarkan titah itu selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan selesai.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memaksa kerajaan melaksanakan adendum tersebut.

Pada 11 Januari lalu, dalam satu ucapan, Anwar mendedahkan bahawa adendum tersebut telah dihantar terus kepada peguam negara.

Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa selepas surat itu diterima, Yang di-Pertuan Agong telah bertukar, dan peguam negara menyerahkannya kepada Istana Negara bagi membolehkanYang di-Pertuan Agong yang baharu, Sultan Ibrahim membuat keputusan.

“Keputusan (adendum) dihantar kepada peguam negara… bukan kepada saya… bukan kepada anggota Lembaga Pengampunan.

“Dan peguam negara, apabila Agong baharu dilantik, (peguam negara) menyerahkannya kepada Istana Negara kerana baginda yang mempengerusikan (Lembaga Pengampunan).

“Itulah situasinya… kita tidak menyembunyikan apa-apa,” kata Anwar.

Namun, pada 13 Februari, Anwar menyatakan di Dewan Rakyat bahawa dia tidak akan mengulas mengenai perkara itu sehingga proses mahkamah selesai.Jabatan Peguam Negara kini sedang memohon perintah larangan (gag order) bagi menghalang sebarang perbincangan mengenai titah adendum tersebut.

Bagaimanapun, Azalina berulang kali menyatakan bahawa dia menentang perintah larangan itu.

[Baca berita asal]