WAWANCARA | Bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Nazri Aziz, berkata Washington tidak menghormati pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai isu Palestin meskipun mendakwa negara itu memperjuangkan kebebasan bersuara.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Nazri menjelaskan lima kejadian berasingan di mana dia dihubungi melalui proses diplomatik yang dikenali sebagai "demarche"—untuk memberi penjelasan mengenai pandangan dan tindakan Anwar di peringkat domestik dan antarabangsa, termasuk pendirian Malaysia yang menentang Israel serta sokongan kepada rakyat Palestin yang dibantai di Gaza.

Nazri, yang baru sahaja menamatkan tempoh dua tahun sebagai duta lantikan politik, berkata dia dihubungi kali pertama oleh Jabatan Negara AS selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 — sekitar tujuh bulan selepas memegang jawatan itu.

"Saya tidak menjangkakan sebarang isu sehingga PMX (Anwar) mengeluarkan kenyataan bahawa kita menyokong Hamas dalam kejadian ini.

"Sudah tentu, AS secara unilateral mengumumkan bahawa semua pihak lain telah mengklasifikasikan Hamas sebagai organisasi pengganas," katanya.

Nazri berkata, itu adalah permulaan kesukarannya berdepan Jabatan Negara AS.

"Mereka menghubungi saya dan 'mengajar' saya selama 20 hingga 30 minit, menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sokongan perdana menteri kita kepada Hamas," dakwanya.

Diplomat tanpa latihan rasmi

Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas selama enam penggal itu mengakui walaupun dia ahli politik dan bukan seorang diplomat terlatih, dia mendengar tetapi tetap membalas tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar dan Malaysia.

Antara lain, Nazri berkata dalam panggilan telefon pertama itu, dia menegaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, tetapi keutamaannya sebagai duta juga adalah untuk mengekalkan hubungan baik dengan AS.

"Mengenai kenyataan perdana menteri, saya beritahu mereka bahawa Malaysia adalah negara yang berdaulat dan bebas, jadi kami tidak perlu mendengar ketidakpuasan hati mana-mana negara lain mengenai pendirian kami.

"Dan saya juga menyebut, saya masih ingat, bahawa saya beritahu mereka bahawa seperti mana AS menyokong hak Israel untuk wujud, kami rakyat Malaysia juga tidak menyukai pendirian itu," katanya.

Nazri berkata, dia berkata kerajaan tidak pernah memanggil duta AS ke Malaysia untuk menyatakan bantahan terhadap sokongan pentadbiran AS kepada Israel.

"Inilah kebebasan bersuara, kebebasan menyatakan pandangan seperti yang diajarkan kepada kami oleh demokrasi Amerika. Kenapa kami tidak boleh mempunyai pendirian sendiri?" tegasnya.

Bekas menteri undang-undang itu menambah dia diminta menyampaikan ketidakpuasan hati Washington kepada Putrajaya, tetapi dia bertegas bahawa sebarang mesej seperti itu boleh disampaikan melalui duta AS ke Malaysia.

‘Hak kebebasan bersuara’

Nazri mendedahkan bahawa panggilan kedua dan ketiga dibuat susulan kenyataan Anwar yang menyokong hak Iran untuk membalas serangan Israel terhadap kedutaannya, serta pertemuannya dengan pemimpin Hamas di Qatar tahun lalu.

"Kali keempat ialah apabila perdana menteri membuat kenyataan di Australia mengenai xenofobia. Sekali lagi, mereka menghubungi saya dan bertanya mengapa beliau menyebut mengenai xenofobia.

"Saya beritahu mereka bahawa perdana menteri tidak menyebut AS secara khusus mengalami xenofobia. Beliau hanya berkata secara umum.

"Dan saya sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan bebas. Ini adalah kebebasan bersuara, dan sudah tentu, kami berhak untuk mengatakan apa sahaja yang kami mahu," katanya.

Nazri berkata, kejadian kelima berlaku selepas lawatan kerja dua hari Anwar ke Vladivostok, Rusia, bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 pada September tahun lalu, di mana dia dimaklumkan untuk bersedia menerima panggilan daripada Kongres AS.

"Saya menunggu. Tetapi mereka tidak menghubungi saya. Dan saya mendapat tahu bahawa mereka sebenarnya bercakap dengan Wisma Putra.

"Mungkin mereka sudah bosan dengan saya, saya rasa. Mungkin mereka fikir Wisma Putra dan duta Malaysia ke AS adalah dua entiti yang berbeza," katanya.

Pentadbiran AS sebelum ini di bawah bekas presiden Joe Biden berpihak kepada Ukraine dalam perang menentang Rusia, tetapi Presiden AS ketika ini, Donald Trump, dilaporkan menunjukkan perubahan pendirian melalui dua undian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Secara keseluruhannya, Nazri berkata selain isu Palestin, hubungan dua hala Malaysia-AS kekal kukuh sepanjang tempoh dua tahun dia menjadi duta, seperti yang dapat dilihat melalui peningkatan perdagangan antara kedua-dua negara.

Melihat ke hadapan, Nazri menegaskan pentadbiran Biden dan Trump tetap teguh dalam sokongan mereka terhadap Israel—satu cabaran yang perlu ditangani dengan teliti oleh penggantinya dalam perbincangan dengan Wisma Putra.

Semalam, Bernama memetik Menteri Luar Mohamad Hasan sebagai berkata duta baru Malaysia ke AS merupakan diplomat terlatih dengan memiliki pengalaman luas dalam rundingan dan hubungan antarabangsa.