Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanaman arwah ibu cetus ilham Penyeri Rasa buat Ubi
Diterbitkan:  Feb 27, 2025 8:20 AM
Dikemaskini: 12:20 AM

Kuntuman bunga kantan tanaman arwah ibu menjadi sumber ilham kepada pelukis, Hashim Man, untuk dia menghasilkan karya di pamerkan sempena program Ilustrasi Botani: Rasa Alam di Balai Seni Negara (BSN), Langkawi.

Hashim yang juga seorang penulis dengan nama pena Ubi Marchino berkata memori bersama ibunya menyuntik semangat untuk dia menghasilkan karya tersebut dalam pameran yang bermula hari ini sehingga 31 Julai.

Karyawan dari Kuala Lipis, Pahang yang karyanya banyak dipertontonkan di pameran Members Only di BSN serta program seni pedalaman di Bakun, Sarawak berkata lukisan bunga kantan bertajuk Penyeri Rasa itu menggunakan media akrilik atas kertas.

"Apabila BSN menjemput saya menyertai program ini, saya terus tertarik dengan perkataan Rasa Alam kerana saya juga seorang pemandu pelancong alam semula jadi, justeru tema ini amat sinonim dengan saya," katanya ketika ditemui di BSN Langkawi semalam.

Seorang lagi artis, Dr Zaimie Sahibil dari Sabah pula berkata limau nipis atau nama saintifiknya citrus aurantifolia menjadi subjek karyanya yang menggunakan media cat air atas kertas.

"Program ini sangat menarik dan saya mencadangkan pada masa akan datang ia dibuat di lapangan agar lakaran yang dihasilkan lebih terperinci dan tepat.

"Mungkin boleh libatkan juga individu selain artis, misalnya bidan kampung kerana mereka lebih mengenali tumbuh-tumbuhan yang bermanfaat dalam perubatan tradisional.

"Mereka kadangkala lebih arif kerana mempunyai kepakaran yang diwarisi turun-temurun," kata pensyarah kanan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Sabah itu.

Hasil karya Hashim dan Zaimie merupakan antara 24 karya ilustrasi botani atas kertas yang dipamerkan bersama dua arca dan dua animasi AR sempena program tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah BSN Amerrudin Ahmad berkata 14 seniman termasuk pengarca, pelukis, tenaga pengajar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dijemput menjayakan kem Ilustrasi Botani: Rasa Alam.

"Mereka berjumpa dan bertukar-tukar fikiran bagi memahami dan mengungkap kepentingan herba di persekitaran pulau ini dalam bentuk visual," katanya.

Dia berkata program itu juga merupakan antara misi BSN mempromosi dan menyebarkan pengetahuan mengenai botani, di samping memperkukuhkan kesedaran tentang pemuliharaan biodiversiti serta kepentingan flora dalam ekosistem dan warisan budaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS